Presiden AMANAH yakin kemenangan rakyat Palestin semakin hampir

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu amat yakin perjuangan rakyat Palestin semakin menghampiri kejayaan lantaran wujud banyak perubahan pemikiran dalam kalangan umat Islam dan masyarakat antarabangsa.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berpendapat, berlaku anjakan dalam pemikiran dan gerakan rakyat yang hari demi hari semakin melepaskan diri daripada penguasaan Anglo-Amerika.

“Saya yakin seyakin-yakinnya terlalu dekat kemenangan ini, InsyaAllah. Ini kerana rakyat telah membebaskan cengkaman daripada Anglo-Amerika.

“Yang tinggal hanya beberapa negara Teluk yang masih di bawah cengkaman Anglo-Amerika termasuk mengimport senjata yang begitu banyak.

“Mereka bukan membantu perjuangan rakyat Palestin tetapi membunuh sesama orang Islam dengan huru-hara berlaku di negara Islam sekarang ini.

“Kita yakin penuh kemenangan (perjuangan Palestin) adalah dekat,” kata bekas Timbalan Presiden Pas itu yang turut mengakui kira-kira 30 tahun meneliti perkembangan politik di Timur Tengah dan Palestin khususnya.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata demikian menerusi Perutusan Khas Presiden yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook hari ini.

Dalam masa sama, bekas Menteri Pertahanan berkenaan turut menyelar sikap sejumlah negara Arab yang hanya menjadi penonton terhadap kezaliman yang berlaku di bumi Palestin.

“Negara-negara bukan Islam termasuk di Eropah sendiri sedang mengubah arah mereka untuk bersama-sama rakyat Palestin.

“Kita harap negara-negara Arab jika pemimpin tidak mahu berubah, rakyatnya akan membuat perubahan menentang mustakbirin sombong dan angkuh yang dilakukan oleh Zionis Israel.

“Kita kena bezakan Zionis dengan Bani Israel. Bukan semua orang Yahudi menyokong penindasan yang dilakukan di bumi Palestin yang dijajah sekarang,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Mohamad yakin gandingan perjuangan anggota tentera dan kesepakatan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam berdepan kekejaman dan jenayah Zionis akan membuahkan hasil.

“Saya melihat perubahan-perubahan pemikiran dalam kalangan orang Islam. Kita yakin perpaduan antara barisan hadapan seperti Hamas dan Hezbollah (pejuang tentera Lebanon), perpaduan mereka dengan NGO yang lain.

“Saya yakin masa depan rakyat Palestin akan kembali ke kampung halaman mereka dan Palestin dibebaskan daripada Zionis Israel,” tegas Mohamad lagi.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/presiden-amanah-yakin-kemenangan-rakyat-palestin-semakin-dekat/

COMMENTS

Wordpress (0)