PPSMI: Ikut pendapat majoriti kabinet, sayang bangsa utamakan kejayaan

PPSMI: Ikut pendapat majoriti kabinet, sayang bangsa utamakan kejayaan

Kerajaan masih menimbang sama ada untuk melaksanakan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan keputusannya akan dibuat mengikut pendapat majoriti anggota Kabinet, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menjelaskan pandangannya mengenai pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, Dr Mahathir yang juga Pemangku Menteri Pendidikan berpendirian jika benar sayangkan bangsa, kejayaan sebagai satu bangsa perlu lebih diutamakan daripada hanya bertutur dalam bahasa sendiri.

“Saya Melayu. Saya sayang kepada bangsa dan bahasa Melayu. Tetapi kita perlu beri pertimbangan kepada kemajuan bangsa.

“Sayang bangsa, utamakan kejayaan bersaing lebih dari hanya bertutur kata dalam bahasa sendiri,” katanya pada majlis amanat dan aspirasi beliau bersama warga Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Menjelas lanjut dalam sidang media kemudian, Dr Mahathir berkata sebuah jawatankuasa Kabinet telah dibentuk untuk mengkaji perkara itu memandangkan terdapat tentangan daripada orang ramai terhadap cadangan berkenaan.

“Saya dapati ada disiar bahawa kerajaan dah tentukan Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Sebenarnya kita belum buat keputusan, apa yang berlaku ialah saya beri penerangan sahaja kepada pegawai-pegawai dalam kementerian. 

“Tetapi entah macam mana terbocor dan dilaporkan seolah-olah kerajaan sudah putuskan perkara ini. Sebenarnya kerajaan masih menimbang,” katanya.

Dr Mahathir mengakui bahawa beliau yang memperkenalkan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dahulu, dan kini menurutnya beliau masih lagi berpendapat bahawa tanpa menggunakan Bahasa Inggeris, negara akan ketinggalan dalam bidang yang penting itu.

Katanya ini kerana ilmu Sains tidak statik dan sentiasa berkembang dengan pelbagai istilah baharu dalam Bahasa Inggeris diperkenalkan dari semasa ke semasa.

“Pada mulanya kita buat kerja tangan, selepas itu kita guna ‘mass production’, kemudian cara mekanikal, automasi dan robot, sekarang kita masuk era digital. Ia tidak berhenti, pelajaran yang lama tidak boleh diguna pada masa ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata ketika ini, guru diberi pilihan untuk mengajar Sains dan Matematik sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, namun kaedah itu tidak menghasilkan keputusan yang baik.

Ditanya sama ada kerajaan akan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai, katanya semua pihak terlibat termasuk ibu bapa, guru dan pelajar boleh menyampaikan pandangan mereka kepada kerajaan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak akan membuat sesi libat urus dengan pihak pemegang taruh kerana ia akan mengambil tempoh yang lama.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata ilmu sains kebanyakannya datang dalam Bahasa Inggeris dan terjemahan kepada bahasa lain mungkin tidak menggambarkan makna yang sebenar.  

“Untuk memahami, dan menterjemah dan tafsir ke dalam bahasa kita amatlah sukar. Tidak mungkin kita punyai pakar sains yang akan terjemah hasil selidik berpuluh-puluh kertas selidik dalam pelbagai bidang tiap hari,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata Bahasa Inggeris adalah bahasa paling kerap digunakan dalam industri dan tentulah agak sukar bagi mereka yang tidak menguasai Sains dalam bahasa Inggeris memahami arahan yang diberikan.

“Hari ini pun kita dapati mereka yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris sukar mendapat kerja. 

“Konferensi sains antarabangsa kerap diadakan. Biasanya Bahasa Inggeris menjadi bahasa konferensi. Jika pakar sains kita tidak fasih dalam Bahasa Inggeris, maka kita tidak mungkin faham perbincangan yang diadakan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata cara mengajar bahasa Inggeris perlu diperbaharui dengan menggunakan program yang akan disediakan oleh pakar yang fasih, ditayang di skrin dan dipimpin oleh guru kelas.

“Dengan itu kepakaran mereka yang siapkan video ini akan dapat dinikmati semua murid. Kalau kita balik kepada cara lama, kita sedar bahawa tidak semua guru Bahasa Inggeris fasih,” katanya.

Dr Mahathir berkata kaedah itu akan mendedahkan murid kepada satu standard sahaja yang diperkenalkan oleh pakar-pakar bahasa.