Posting ‘tutup pintu depan’ adalah luahan perasaan sebahagian menteri

Meskipun Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob menjelaskan tiada maksud tersembunyi pada hantaran di media sosialnya semalam, pemerhati dan ahli politik menyatakan pandangan berbeza.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan menyifatkannya sebagai gambaran rasa hati Ismail dan mungkin juga para menteri lain.

“Bagi saya itu bukan lagi sindiran tapi lebih kepada menggambarkan rasa hati, bukan saja Ismail tapi kemungkinan besar ada ramai lagi jemaah menteri dalam Kabinet.

“Kita tahu (mereka) seharusnya menunjukkan kesepakatan dalam membuat dasar dan bertanggungjawab dalam membuatnya. Tapi kemungkinan (keadaan) dah sampai pada kemuncaknya sehinggakan menteri kanan terpaksa membuat hantaran berbentuk sindiran.

“Dalam budaya Melayu, sindiran ini begitu kuat sekali kerana bagi mereka yang memahaminya, ini menggambarkan sedikit kecelaruan dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

Semalam, Ismail memuat naik hantaran berbunyi “Saya dah tutup pintu depan tapi…” yang mengundang ulasan ramai pihak. Sejumlah warganet menganggap ia susulan banyak kilang yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu.

Permohonan sektor industri melalui Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) 3.0 kendalian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) diterajui Mohamed Azmin Ali dari Bersatu.

Hari ini, Ismail menjelaskan dia tidak ada sebarang maksud tersembunyi ketika membuat hantaran itu.

Azmin pula menggesa mana-mana pihak agar tidak membuat spekulasi dan menjelaskan barian menteri bekerja sebagai satu pasukan untuk memerangi wabak Covid-19.

Miti: Azmin to lead trade and investment mission to South Korea, Japan |  Malaysia | Malay Mail

Bagaimanapun, Azmi melihat penjelasan Ismail sukar diterima dan berkata naib presiden Umno itu bijak menggunakan bahasa berlapik.

“Kita lihat ada perbezaan yang ketara terutama sekali dalam dua kelompok – menteri Bersatu dan menteri Umno,” katanya menyentuh isu CIMS 3.0.

“Ia memberi kesan kepada kecekapan kerajaan menangani pandemik,” katanya yang mengulas mengenai apa yang dilihat sebagai kesan perbezaan pendapat dalam kabinet Perikatan Nasional (PN).

Gambaran kelemahan pentadbiran Muhyiddin

Veteran Umno Mustapha Yaakub berpandangan hantaran Ismail memberi gambaran kelemahan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang gagal mengawal tindakan menterinya.

Dia mendakwa berlaku kecelaruan dalam peranan menteri berhubung soal prosedur operasi standard (SOP).

“Bila ada mesyuarat, tidak hadir. Bila keputusan dibuat dan Ismail umum SOP – ‘tutup pintu depan – maka ada yang buka pintu belakang…Perdana menteri kena tegas,” dakwanya yang hanya menyebut “individu yang berkaitan dengan Miti”.

“Saya juga melihat tindakan sebegini sebagai cubaan memburukkan menteri Umno,” katanya lagi ketika dihubungi.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Razlan Rafii juga membuat dakwaan sama, dengan mendakwa individu tersebut tidak hadir mesyuarat.

“Dalam masa kita ingin selesaikan isu pandemik ini, mereka sepatutnya fokus 24 jam,” kata Razlan lagi.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, Exco Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid berkata hantaran Ismail Sabri memberi gambaran tentang kesukarannya dalam melaksanakan tugas apabila ada pihak yang menurutnya cuba menggunakan “pintu belakang”.

Katanya, Ismail pastinya terkesan apabila apa yang diumumkannya “diganggu” oleh pihak lain.

“Kita semua lihat satu Malaysia kalut disebabkannya,” dakwanya merujuk isu kebenaran operasi perniagaan dan kilang sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/577460

COMMENTS

Wordpress (0)