Portal pro PN berniat jahat cuba lagakan PH dengan Sultan

Portal pro PN berniat jahat cuba lagakan PH dengan Sultan

Sebelum ini terdapat sebuah portal pro kerajaan PN yang menyatakan persoalan berkenaan peranan Speaker yang digunakan oleh DAP untuk menentang Tuanku Sultan Johor dilihat sebagai suatu perkara yang tidak wajar.

Mengulas perkara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata kenyataan itu seolah-olahnya mencemarkan nama baik semua pihak termasuk Pakatan Harapan (PH) yang tidak ada niat langsung untuk melawan institusi tertinggi dalam negeri ini iaitu Sultan.

Jelasnya, kenyataan itu berniat jahat kerana ia turut mengaitkan parti Dap bagi menimbulkan prasangka rakyat terhadap PH.

“Kita menjunjung DYMM Tuanku Sultan Johor dan kenyataan yang mengaitkan Tuanku itu adalah suatu provokasi untuk merosakkan hubungan baik PH dengan institusi tersebut.

“Seharusnya mereka lebih maklum bahawa lantikkan speaker dilaksanakan di dalam Dun bukan di luar Dun. Jika sekiranya mereka ingin berbuat demikian maka tunggu Sidang Dun berjalan.

“Usahlah lemah dalam pemerhatian politik sehingga melulu menuduh sebarangan tanpa tahu akan perundangan serta kesan dari apa yang mereka katakan. Keharmonian perlu dijaga bagi keberlangsungan perpaduan di negara ini,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Aminolhuda yang juga Adun Parit Yaani berkata seharusnya waktu ini fokus diberikan oleh mereka yang mengeluarkan kenyataan tersebut adalah berkenaan kemampuan kerajaan dalam membina semula negeri ini.

Selain itu katanya, kerajaan Johor hari ini akan berhadapan laluan sukar dalam mentadbir negeri ini kerana kesan Covid19 menghalang program berskala besar negeri Johor seperti Tahun Melawat Johor dan Sukma tidak dapat dilaksanakan.

“Bukan isu speaker yang harus difikirkan oleh mereka namun apa yang penting adalah kaedah bagi mendapatkan semula sumber kewangan dalam mentadbir negeri Johor sepanjang tahun 2020.

“Kedangkalan dalam ulasan ini hanya menggambarkan kebodohan terhadap diri mereka sendiri dan untuk menyelamatkan diri mereka, pastinya institusi diraja seperti Sultan Johor dikaitkan bagi menghangatkan kenyataan mereka,” jelasnya.

Tambahnya, parti AMANAH dan PH sehingga hari ini masih berusaha menumpukan masalah rakyat yang sedang tersepit dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sumbangan serta bantuan berbentuk barang keperluan turut disalurkan dari masa ke semasa yang jelas membuktikan komitmen PH Johor dalam mendepani permasalahan rakyat.

“Kita akan terus berusaha membantu rakyat agar mereka tidak terpinggir dengan bantuan serta sumbangan sepanjang PKPB berlangsung apatah lagi ianya di dalam bulan Ramadan,” jelasnya lagi.

Berita penuh :https://malaysiadateline.com/ph-jawab-tuduhan-melawan-sultan/

COMMENTS