Politik melayu berpecah dengan kehadiran Pejuang, dakwa Pas

Politik melayu berpecah dengan kehadiran Pejuang, dakwa Pas

Penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan memecahkan kuasa politik Melayu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kewujudan lebih banyak parti Melayu turut menyebabkan kuasa politik orang Melayu menjadi lebih kecil dan lebih mudah ditewaskan.

Menurutnya, perbuatan itu hanya akan merugikan orang Melayu sendiri.

“Perbuatan itu bertentangan dengan kenyataan Dr Mahathir sebelum ini, iaitu lagi banyak parti Melayu ditubuhkan lagi besar perpecahan dalam kalangan Melayu. Kenyataan beliau ini harus diingati semula oleh dirinya mahupun anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Sehingga kini, terdapat enam parti Melayu iaitu UMNO, Pas, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), PKR (Parti Keadilan Rakyat), Amanah (Parti Amanah Negara) dan terbaharu, Pejuang yang diasaskan Dr Mahathir.

Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah berkata, asas kepada penyatuan orang Melayu adalah perpaduan ummah, sama ada dalam gabungan Muafakat Nasional mahupun Perikatan Nasional.

“Mana-mana rumah Melayu yang mahu bersatu padu, boleh pilih pada satu gabungan ini, kita tengok apa kepentingan politik yang ditawarkan,” katanya.

Mengulas keperluan Bersatu dibubarkan bagi mengurangkan parti politik dengan membenarkan ahlinya menyertai sama ada Pas atau UMNO, katanya perkara itu tidak wajar dibangkitkan.

“Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pun sambut baik cadangan Bersatu menyertai Muafakat Nasional. Apa pun gabungan yang menguntungkan orang Melayu dan kukuhkan perpaduan ummah, Pas bergerak ke arah itu. Sebarang gerakan yang gugat perpaduan ummah, kita sedia hadapinya,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/97476/BERITA/Politik/Pejuang-pecahkan-kuasa-politik-Melayu