Polis sahkan kilang Carlsberg tidak beroperasi, asap adalah dari proses pemanasan bahan mentah untuk elak rosak

Polis sahkan kilang Carlsberg tidak beroperasi, asap adalah dari proses pemanasan bahan mentah untuk elak rosak

Polis mengesahkan kilang arak di Seksyen 15, di sini, tidak beroperasi seperti yang didakwa menerusi sebuah video tular di Facebook (FB) sejak semalam.

Menerusi video berdurasi 40 saat itu, individu yang merakamnya mendakwa kilang berkenaan beroperasi berdasarkan asap yang keluar dari kilang terbabit.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, susulan video berkenaan, pihaknya segera menggerakkan pasukan Task Force Pematuhan Covid-19 ke kilang terbabit jam 7.40 malam.

Katanya, pemantauan mendapati tiada sebarang operasi pengilangan arak dijalankan dan asap yang dikeluarkan dari salah satu cerobong kilang itu adalah wap daripada proses memanaskan bahan mentah seakan gandum atau ragi.

“Pasukan kami juga bertemu dengan pengurus kilang dan dimaklumkan bahawa asap itu adalah wap yang keluar hasil daripada proses pemanasan bahan mentah.

“Bahan itu perlu dipanaskan bagi memastikan ia tidak rosak sepanjang penutupan operasi kilang. Ia (wap) perlu dikeluarkan bagi mengelakkan berlaku letupan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ia langkah meletakkan peralatan pengilangan dalam keadaan siap siaga dan mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya, susulan insiden tular itu juga pihaknya akan memanggil pemilik akaun FB bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, berdasarkan surat kebenaran MITI kilang berkenaan, hanya 10 peratus pekerja dibenarkan bergerak dari kediaman ke kilang atau premis masing-masing.

Kelulusan itu boleh dibatalkan dan ditarik balik, sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi oleh syarikat.

Semalam tular satu video berdurasi 40 saat yang diambil seorang lelaki dari rumahnya yang menunjukkan asap keluar dari kilang dan sekumpulan pekerja keluar masuk dengan memandu trak pada jam 7.45 pagi.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/719916/kilang-arak-di-seksyen-15-tidak-beroperasi