Polis masih teruskan siasatan kes Khairuddin tak kuarantin

Polis masih teruskan siasatan kes Khairuddin tak kuarantin

Bukit Aman hari ini memaklumkan siasatan terhadap kes menteri tak kuarantin sekembali dari luar negara, Khairuddin Aman Razali, sedang diteruskan, kira-kira sebulan selepas pemimpin PAS itu dikesan tak ikut perintah cegah penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Huzir Mohamed, berkata ada beberapa tindakan lagi yang perlu polis laksanakan selepas dapat balik kertas siasatan yang diserah kepada Jabatan Peguam Negara.

“Dalam masa terdekat kita dapat selesaikan arahan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis persekutuan, ketika ditanya perkembangan siasatan terhadap menteri perusahaan, perladangan dan komoditi itu.

Khairuddin menjadi sasaran kritikan ramai pihak yang patuh arahan kerajaan selepas orang ramai mendapat tahu beliau tidak ikut arahan kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki pada Julai.

Sementara itu, polis akan memanggil pemimpin Warisan, Mohamaddin Ketapi untuk diambil keterangam berhubung kenyataan berkait peristiwa pencerobohan Lahad Datu.

Huzir berkata suatu pasukan khas akan ke Sabah untuk mengambil keterangan bekas menteri itu.

“Temujanji telah dibuat…dia juga setuju tampil memberi keterangan,” katanya ketika ditanya perkembangan kes itu.

Kenyataan Mohamaddin dalam satu video tular, mendakwa pasukan keselamatan mengebom “kelapa sawit dan rumah”, dan pasukan di darat “berperang dengan ayam dan anjing”, mengundang kecaman pelbagai pihak.

Pada 11 Feb 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu memasuki perairan Sabah dan mendarat di Lahad Datu, menyebabkan pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia yang berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 anggota keselamatan, dan 6 orang awam.

Mohamaddin nafi memperkecilkan pasukan keselamatan mendakwa kenyataannya dipesongkan dan diambil di luar konteks.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/09/30/siasatan-kes-menteri-tak-kuarantin-diteruskan/

COMMENTS