Kerajaan negeri akan memulakan program restorasi hutan iaitu penanaman semula pokok hutan bagi menggantikan pokok sawit di kawasan Empangan Durian Tunggal dan Empangan Jus, bermula bulan ini.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, program yang diberi nama ‘Green Dam For Future’ itu bakal melibatkan agensi swasta dan industri di negeri ini.
Jelasnya, program berkenaan bakal dijalankan menerusi empat fasa bermula dengan mematikan pokok-pokok sawit secara ‘mesra-alam’ melibatkan kawasan seluas 303 ekar.
“Melalui program restorasi hutan ini ia dijangka dapat mengembalikan kawasan empangan sebagai hutan tadahan dan mempunyai ruang yang cukup untuk menakung air di masa akan datang.
“Ini merupakan pelan jangka masa panjang untuk kawasan tadahan air bagi membolehkan kita dapat ‘sustain’ untuk tempoh masa yang panjang.
“Saya percaya jika kawasan tadahan kita dapat dipenuhi sehingga lebih 70 peratus air, kita sebenarnya mempunyai air yang cukup,” katanya di sidang media pasca Mesyuarat Exco di Seri Negeri, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Adly berkata, penghapusan pokok sawit di kawasan empangan adalah penting bagi memastikan bekalan air di empangan mencukupi dan tidak terjejas.
“Sebenarnya satu pokok sawit menggunakan air sama banyak dengan setiap orang. Jadi, ia jelas mengganggu kawasan tadahan air yang kita ada.
“Perlu tahu bahawa pokok sawit ini juga memerlukan baja yang banyak untuk mendapatkan hasil. Namun, proses pembajaan itu sebenarnya mengganggu kualiti air dalam kolam takungan.
“Oleh sebab itu, kawasan sawit yang sebelum ini dipajak kepada pihak swasta dan agensi ini telah kita hentikan dan tanaman ini akan dihapuskan secara berperingkat bagi memastikan kawasan tadahan kita kembali hijau bagi menampung air untuk tempoh yang panjang,” katanya lagi.