PN tumpu pilihan raya umum – Azmin

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau akan sedaya upaya memastikan prestasi perikatan itu terus diperkukuhkan dan mendapat dukungan rakyat sepenuhnya.

Azmin yang baharu dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PN bagi mengetuai persediaan jentera pilihan raya parti berkata, walaupun fokus kerajaan adalah memulihkan ekonomi dan COVID-19 dan bukannya pada Pilihan Raya Umum (PRU), sebagai parti politik PN perlu bersedia untuk ke arah itu.

“Justeru semua bersetuju untuk menggerakkan semua jentera dalam kalangan PN untuk bersiap sedia menghadapi PRU apabila tiba waktunya.

“Bagi mencapai ke arah itu, ketua-ketua parti secara sebulat suara sudah meletakkan tanggungjawab ini kepada saya dan saya amat menghargai keyakinan dan kepercayaan mereka untuk mengemudi jentera pilihan raya PN.

“Alhamdulillah dan terima kasih saya ucap terima kasih kepada pemimpin dan ketua parti PN atas kepercayaan itu,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pelantikan Azmin diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN semalam, sejajar usaha mengukuhkan kedudukan PN sebagai parti politik yang menerajui kerajaan hari ini.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, mesyuarat itu membincangkan mengenai perkembangan semasa terutama dalam usaha PN memulihkan ekonomi termasuk Belanjawan 2021 dan peranan pimpinan untuk mendukung Belanjawan 2021.

“Bagi mendukung usaha ini walaupun kita dalam keadaan yang sukar, kita yakin (Belanjawan) 2021 ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban individu, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan industri.

“Yang keduanya sudah tentulah kita mahu sebuah kerajaan yang kuat, stabil, kerana kestabilan sesebuah kerajaan itu pasti dapat memberikan khidmat terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/752717/pn-gerak-jentera-hadapi-pilihan-raya-umum#.X6rUCidxdUc.whatsapp