PN Terengganu mahu jemput parti Gerakan sertai jawatankuasa negeri itu

Perikatan Nasional (PN) Terengganu yang baru dibentuk secara rasmi malam tadi berhasrat menjemput rakan komponen, Gerakan untuk turut menganggotai jawatankuasa berkenaan.

Ketua Penerangannya, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, jawatankuasa negeri itu kini terdiri dalam kalangan kepimpinan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang berperanan sebagai Naib Pengerusi.

“PN Terengganu telah dibentuk secara rasmi malam tadi dengan jawatankuasa yang lengkap. Mesyuarat kali pertama dihadiri oleh semua 24 jawatankuasa kecuali Bendahari, Datuk Rosol Wahid yang berada di Sabah.

“Mesyuarat bersetuju membentuk PN di semua bahagian yang akan dipengerusikan oleh ahli Parlimen kecuali di Besut oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang,” katanya ketika dihubungi pemberita, pada Isnin.

Wan Sukairi juga berharap PN Terengganu dapat terus bergerak aktif sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Wan Sukairi tidak mengulas lanjut apabila ditanya sama ada pihaknya akan berunding dengan UMNO dalam PRU15 sebaliknya memberitahu kerjasama bersama UMNO akan diteruskan seperti biasa.

“UMNO merupakan sekutu Pas dalam Muafakat Nasional (MN) maka kerjasama tetap diteruskan seperti biasa,” katanya.

Jawatankuasa baharu PN Terengganu turut menyaksikan Muhyidin Abd Rashid sebagai Setiausaha, Khazan Che Mat (Penolong Setiausaha), Datuk Rosol Wahid (Bendahari), Mohd Nor Hamzah (Penolong Bendahari) Wan Sukairi Wan Abdullah (Ketua Penerangan), Badrolhisham Shafie (Penolong Ketua Penerangan).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman pula dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya’ Yusop Majid (Penolong Pengarah Pilihanraya), Mohd Nasir Abd Razak (Ketua Pemuda), Aziman Hadi Nazri (Naib Ketua Pemuda), Rosilawati Mukhtar (Ketua Wanita) manakala Toh Puan Zarani Othman (Naib Ketua Wanita).

Selain itu, seramai 10 ahli jawatankuasa (AJK) terdiri daripada Satiful Bahri Mamat, Dr Alias Razak, Dr Azman Ibrahim, Zuraida Md Noor, Che Alias Hamid, Husaimi Husin, Datuk Aziz Ismail, Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok, Mek Zaharah Husain dan Aidi Ahmad.

Berita penuh :  https://www.sinarharian.com.my/article/129633/BERITA/Politik/PN-Terengganu-hasrat-pelawa-Gerakan-sertai-jawatankuasa

COMMENTS

Wordpress (0)