PN serah mandat kepada Muhyiddin bincang calon TPM, Jemaah Menteri

Muhyiddin

Gabungan parti Perikatan Nasional (PN) menyerahkan kepada Pengerusinya Muhyiddin Yassin untuk berbincang dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bagi menentukan individu yang akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan barisan Jemaah Menteri.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata, gabungan parti itu juga tidak berbincang dan menetapkan siapa yang perlu diangkat sebagai timbalan perdana menteri dan Jemaah Menteri dalam mesyuarat hari ini.

Antara pemimpin dilihat hadir ialah, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang;Setiausaha Agung STAR, Guan Dee Koh Hoi; Ketua Pemuda PN Khairil Nizam Khirudin; Ketua Wanita Bersatu, Rina Harun dan Ketua Penerangan Pemuda PN, Muhammad Hilman Idham.

PN serah mandat kepada Muhyiddin bincang calon TPM, Jemaah Menteri

“Kami tak bincang (jawatan) kita serah kepada pengerusi PN (Muhyiddin) untuk tentukan dan bincang dengan perdana menteri.

“Pengerusi akan bincang dengan perdana menteri (senarai barisan Jemaah Menteri) dan saya percaya perdana menteri akan buat keputusan betul,” katanya selepas menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi PN yang dipengerusikan Muhyiddin di Publika.

Diminta mengulas khabar angin calon timbalan perdana menteri akan dilantik dalam kalangan pemimpin Bersatu, Faizal hanya mengucapkan terima kasih walaupun tidak mengesahkan perkara itu.

“Yang penting satu Kabinet dibentuk daripada satu pasukan untuk nak selamatkan negara keluar daripada kemelut yang kita alami,” katanya.

Faizal turut memaklumkan, mesyuarat hari ini juga sebulat suara menyokong barisan kerajaan yang akan dibentuk Ismail.

“Kami juga akan meneruskan usaha kesiapsiagaan PN untuk hadapi PRU, jentera parti dan kerjasama parti komponen akan diperkukuh,” katanya.

Ismail mengangkat sumpah sebagai perdana menteri semalam menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan pada Isnin lalu selepas kehilangan sokongan majoriti.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/22/pn-serah-kepada-muhyiddin-bincang-calon-tpm-jemaah-menteri/

BACA JUGA : Gempar !!! Umno Sabah dilihat mampu ‘goncang’ kerajaan GRS