PM Singapura umum bina Kolej Pengajian Islam

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Singapura akan membina Kolej Pengajian Islam Singapura untuk melahirkan pemimpin Islam masa depan di negara itu, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

“Saya akan umumkan butirannya kelak,” kata Wong dalam Bahasa Melayu semasa Rapat Hari Kebangsaan 2024

(NDR 2024) yang merupakan acara pertamanya sebagai Perdana Menteri pada Ahad.

Menurut The Straits Times (ST), idea penubuhan kolej ini pertama kali dikemukakan pada tahun 2016 oleh

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam ketika itu, Yaacob Ibrahim.

PM Singapura umum bina Kolej Pengajian Islam

Dalam pada itu, Wong yang juga Menteri Kewangan mengiktiraf sumbangan dan kerjasama pemimpin serta keseluruhan masyarakat Melayu-Islam di republik itu yang telah menyumbang kepada kejayaan Singapura dalam pelbagai bidang.

“Ini termasuk dalam meningkatkan pencapaian pendidikan, membanteras fahaman radikal dan keganasan, serta usaha memperbaiki kehidupan golongan yang memerlukan. Kita telah menangani isu-isu ini dengan telus dan berani,” katanya.

Sebagai Perdana Menteri, Wong berkata beliau komited untuk meneruskan kerjasama yang kukuh antara kerajaan dan masyarakat, serta menghargai semua maklum balas dan pandangan yang diberikan.

Beliau juga memberi jaminan untuk terus mendampingi komuniti Melayu-Islam ke arah mencapai visi Masyarakat Gemilang.

“Saya akan pastikan semua anggota masyarakat Melayu-Islam meraih manfaat daripada kemajuan negara kita. Saya juga akan menyokong anda dalam usaha membina sebuah masyarakat Melayu-Islam yang moden, progresif, tetapi masih mengekalkan adat resam dan cara hidup anda yang tersendiri,” katanya.

NDR diadakan sempena Hari Kebangsaan Singapura ke-59 dan disiarkan dalam tiga segmen iaitu Bahasa Melayu, Mandarin, dan Bahasa Inggeris.

BACA: Patutlah wanita Thailand punyai kulit cantik halus dan gebu, tak sangka ini rahsianya