PKS makin terhimpit, pelan pemulihan dilihat tidak menentu

PKS makin terhimpit, pelan pemulihan dilihat tidak menentu

Putrajaya perlu menjelaskan bagaimana untuk keluar daripada krisis kesihatan berikutan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) “cemas” dengan penutupan yang tidak jelas itu, kata sebuah badan yang mewakili PKS hari ini.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Michael Kang, berkata lebih banyak PKS ditutup kerana ketidakpastian, yang mungkin menjadi faktor penyumbang kepada masalah seperti bunuh diri.

Kang berkata, dia menerima e-mel dan mesej daripada PKS yang sedang bergelut dengan hutang.

PKS

Memetik e-mel terbaharu yang diterima hari ini, Kang berkata pengusaha perniagaan itu tidak lagi dapat membayar gaji kakitangannya dan sewa.

“Dia berhutang dengan pembekal dan lain-lain sebanyak RM500,000. Dia tidak dapat membayar caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), PERKESO dan lain-lain.

“Ini adalah kenyataan ketika ini,” katanya dalam webinar dianjurkan oleh Program Pembangunan PBB bertajuk “Building Back Better: Supporting Micro, Small and Medium Enterprises for a More Sustainable and Resilient Recovery”.

Ditanya mengenai situasi semasa dan prospek PKS pada 2022, Kang berkata kerajaan memerlukan “rancangan” untuk keluar daripada pandemik Covid-19 dan garis waktu untuk perniagaan dibuka.

“Perintah sekatan (semasa) dilanjutkan untuk satu tempoh tidak pasti. Tidak ada kepastian, dan ini akan menyebabkan lebih banyak PKS ditutup.

“Ia akan mengakibatkan lebih ramai kehilangan pekerjaan dan membawa kepada masalah sosial yang semakin buruk,” katanya, merujuk kepada peningkatan kes bunuh diri.

“Sebilangan besar mereka berhutang kepada bank, pembekal dan lain-lain.”

Kang berkata, kebanyakan PKS tidak memperoleh pendapatan sejak awal bulan ini kerana perintah sekatan. “(Bagi mereka) yang memperoleh pendapatan sifar pada bulan Jun, mereka tidak dapat membayar gaji kakitangan atau sewa.”

Katanya, PKS berterima kasih atas pakej kewangan yang ditawarkan oleh kerajaan, tetapi Putrajaya juga perlu mempunyai strategi keluar supaya perniagaan kecil dapat terus beroperasi.

Awal bulan ini, persatuan itu mengingatkan bahawa lebih 50,000 lagi PKS akan gulung tikar jika PKP dilanjutkan selama enam bulan lagi, dan kira-kira 100,000 syarikat telah menghentikan operasi.

Berharap ekonomi akan dibuka kembali bulan depan, Kang menambah persatuan itu turut bekerjasama dengan kerajaan untuk membantu PKS bergerak menuju digitalisasi sebagai cara untuk memasarkan produk mereka di dalam dan luar negara.

Sementara itu, pensyarah undang-undang Rachel Burgess dari University of Southern Queensland berkata kajian semula terhadap akta dan undang-undang persaingan diperlukan untuk memastikan syarikat kecil berada di medan persaingan yang setara.

Ia juga akan mendorong pembangunan ekonomi dan melindungi persaingan, katanya.

“Penggabungan anti-persaingan perlu dikaji semula untuk melihat sama ada ia wajar dibenar untuk diteruskan.

“Perusahaan kecil yang digabung menjadi satu badan akan menjadi tidak kompetitif,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/29/pks-cemas-kerajaan-perlu-perjelas-pelan-keluar-daripada-pandemik-kata-persatuan/

BACA JUGA : Sidang Khas Parlimen dibuat secara bersemuka – Timb Speaker