PKR mohon maaf kepada pengundi Julau dan Tebrau

PKR mohon maaf kepada pengundi Julau dan Tebrau

Majlis Pimpinan Pusat telah mengadakan mesyuarat bulanan hari ini dan membincangkan beberapa perkara utama seperti berikut.

KEADILAN memohon maaf kepada para pengundi di Julau dan Tebrau di atas sikap dua Ahli Parlimen yang telah membuat tindakan keluar parti hari ini. Majlis Pimpinan Pusat juga telah membuat keputusan hari ini untuk memecat YB Larry Sng, Ketua Cabang Julau, dan YB Steven Choong, Ketua Cabang Tebrau, sebagai anggota KEADILAN dengan serta-merta.

Jentera KEADILAN di kedua-dua cabang tersebut diminta melipat gandakan usaha mendampingi rakyat, menyelesaikan isu dan masalah, serta bersiap sedia mengambil semula kerusi-kerusi ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Majlis Pimpinan Pusat juga telah membincangkan tindakan mahkamah yang telah dan akan diambil terhadap mereka yang telah bertanding di atas tiket KEADILAN tetapi telah mengkhianati mandat rakyat dan keluar parti.

Apa yang jelas, pada ketika wabak Covid-19 masih merebak dan ekonomi negara terus suram, Darurat digunakan sebagai alasan mengekalkan kuasa Kerajaan yang telah hilang sokongan majoriti iaitu dengan memberi masa untuk mendapatkan sokongan Ahli-Ahli Parlimen melalui ugutan mahupun tawaran jawatan dan habuan.

Walaupun dengan pengkhianatan 2 Ahli Parlimen hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu sedar bahawa majoriti Ahli-Ahli Parlimen sudah tidak lagi bersama beliau. Beliau sepatutnya tidak lagi berusaha untuk mengekalkan Kerajaan yang lemah ini, tetapi meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Sumber :