PKR bincang dengan parti lain, hasrat mahu tambah kerusi Dun Sabah

PKR bincang dengan parti lain, hasrat mahu tambah kerusi Dun Sabah

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyasarkan untuk menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, harapan itu berasaskan pertambahan kerusi DUN daripada 60 menjadi 73 kerusi bagi PRN kali ini selain faktor jumlah keanggotaan PKR di Sabah yang merupakan kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor.

Menurutnya, walaupun peratusan PKR bertanding pada PRN sangat kecil namun secara prinsipnya mereka mempertahankan kawasan yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

“Kita akan melihat potensi dan peluang PKR di kerusi baharu kerana pertambahan kerusi itu.

“Kalau dulu kita bertanding lapan daripada 60 (kerusi) dan kini bertambah 13, ada munasabah untuk peluang PKR dibuka (bertanding lebih banyak kerusi) kerana sudah tentu kita melihat dari segi keanggotaan PKR yang kedua terbanyak di Malaysia selepas Selangor iaitu 173,907 anggota,” katanya kepada media hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri jelajah penerangan PKR Sabah yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew.

Saifuddin berkata, PKR juga enggan masuk campur soal parti lain namun perbincangan akan dilakukan sekiranya berlaku pertindihan.

“Jika ada pertindihan, kita akan bincang tetapi jika kerusi itu pernah ditandingi PKR dan dimenangi oleh kami, kerusi itu akan menjadi milik PKR.

“Selain itu, bagi kerusi yang dirasakan PKR mempunyai kekuatan dan munasabah untuk ditandingi, saya juga telah sampaikan kepada ketua menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) tadi,” katanya.

Untuk rekod, pada PRU lalu PKR hanya memenangi dua daripada lapan kerusi yang ditandingi iaitu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api dan Inanam.

Bagaimanapun, PKR kini hanya mempunyai satu kerusi DUN selepas wakil rakyat mereka di Inanam, Kenny Chua dipecat selepas menyokong bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman pada Julai lalu.

Terdahulu dalam satu majlis berasingan, Anwar Ibrahim ada mengadakan pertemuan dengan Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi membincangkan pengagihan kerusi komponen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan ini.

Perbincangan pada sebelah pagi itu bertujuan untuk memperhalusi pengagihan kerusi antara PKR dengan Warisan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan komponen PH kini di peringkat akhir dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Mengenai perkara itu, Saifuddin menegaskan tujuan pertemuan antara dua parti itu adalah bagi memperhalusi usaha memuktamadkan semua perkara berkaitan PRN.

“Kita ada seminggu lagi untuk muktamadkan, perkembangannya banyak cuma kita ada proses untuk memperhalusi lagi kerana kita kena mengambil kira kawasan yang ada penglibatan UPKO, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah).

“Itu lumrah dalam mana-mana proses pengagihan kerusi yang sering kami hadapi,” katanya.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/99967/BERITA/Politik/PKR-sedia-tambah-bilangan-kerusi-DUN-pada-PRN-Sabah

COMMENTS