PKPD Cameron Highland, pekebun terpaksa biarkan sayur rosak

PKPD Cameron Highland, pekebun terpaksa biarkan sayur rosak

PKPD Cameron Highland, pekebun terpaksa biarkan sayur rosak. Pekebun sayur di sebuah kampung di sini yang tidak dapat keluar menuai hasil tanaman mereka sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), terpaksa membiarkannya membazir begitu saja.

Pekebun, Lau Weng Soow dari Tringkap berkata, beliau langsung tidak dapat pergi ke kebunnya sepanjang PKPD sehingga 11 Julai ini.

Kampung terbabit dikenakan sekatan penuh selama dua minggu selepas pegawai kesihatan mengesan 70 kes Covid-19.

“Kami mempunyai tempoh tertentu untuk menuai hasil tanaman sayur. Sebagai contoh, kami perlu memetik tomato dalam tempoh dua bulan setengah selepas menanamnya.

“Memandangkan kami masih di bawah PKPD, kami tidak dapat keluar mengambil hasil tanaman. Tiada cara lain selain membiarkan semua tanaman rosak,” katanya kepada FMT.

Beberapa gambar menunjukkan sejumlah besar hasil tanaman yang rosak di kebun menjadi tular di WhatsApp.

Lau mengeluh pegawai kesihatan belum selesai menjalankan saringan ke atas pekerja kebun di Tringkap, yang kebanyakannya terdiri daripada warga asing.

Sayur-sayuran dibuang di lereng bukit di Cameron Highlands.
“Kami berharap kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memindahkan pekerja yang positif Covid-19 ke pusat kuarantin lain, daripada membiarkan mereka menjalani kuarantin kendiri di asrama ladang.

“Dengan cara itu, kami akan berasa lebih selamat untuk kembali bekerja,” katanya sambil menjelaskan mereka juga hilang pendapatan akibat PKPD.

Sementara itu, Lau Sai Hoong, yang juga ahli Pasukan Petugas Pekebun Tringkap, berkata pihaknya sukar menganggarkan kerugian yang dihadapi setiap pekebun sepanjang “lockdown”.

“Mereka mempunyai tanaman berbeza. Kita tidak dapat menganggarkan kerugian sebenar sepanjang PKPD, tetapi saya boleh katakan kemusnahan tanaman itu adalah teruk,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu memindahkan kes positif Covid-19 ke pusat kuarantin lain.

Beliau turut memberi amaran ramai pekebun mungkin tidak dapat bertahan sekiranya PKPD dilanjutkan memandangkan mereka tidak keluar ke kebun sejak 28 Jun lagi.

“Kami hanya ingin kembali bekerja dengan selamat,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/05/sayur-terpaksa-dibiarkan-rosak-pekebun-tak-dapat-keluar-akibat-pkpd/

Jika Anda Terlepas: Tebuk roti untuk seludup bahan terlarang di Pusat Kuarantin