Bukan isu bekalan cukup, tapi sampaikah bekalan itu kepada rakyat?

Bukan isu bekalan cukup, tapi sampaikah bekalan itu kepada rakyat?

Pihak berkuasa perlu mencari jalan berbincang bersama persatuan peniaga supaya bekalan dan proses pembelian makanan dapat berjalan dengan lancar sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu pembuangan sayuran-sayuran disebabkan berlaku kerumitan membawa dan memunggah di Pasar Borong Selayang pada kelmarin, seharusnya diteliti dan diselesaikan.

Beliau berkata, pihaknya menyokong keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh PKP, namun oleh kerana perintah yang terpaksa dipatuhi, isu pembelian dan penjualan di pasar kelihatan terganggu.

“Tidak memadai hanya untuk mengumumkan kecukupan bekalan makanan, tetapi hendaklah diteliti bagaimana pengangkutan dan proses pengagihan makanan boleh berjalan dengan lancar.

“Oleh kerana lanjutan PKP telah diumumkan hari ini, para pengguna seharusnya diberikan jaminan bahawa mereka tidak sukar untuk mendapatkan makanan yang diperlukan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Susulan PKP yang dikuatkuasakan bertujuan membendung penularan wabak Covid-19, Mohd Azmi menyifatkan, kelompok rakyat paling terkesan adalah mereka yang berada dikategori pekerja tidak tetap dan bergantung kepada pendapatan harian.

“Walaupun terdapat inisiatif tertentu yang diisytiharkan oleh pihak kerajaan, tetapi mekanisme penyampaian perlu pantas, mudah dan berkesan.

“Kehidupan rakyat perlu diteliti secara terperinci kerana tanda-tanda kehidupan harian semakin terhimpit akan meresahkan rakyat, terutamanya golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap,” ujarnya lagi.

Memetik laporan Malaysiakini semalam, waktu operasi pasar awam yang terbatas dan sekatan trafik di jalan raya sewaktu PKP didakwa telah menimbulkan kesan rantaian negatif terhadap bekalan sayur dan makanan mentah di pasaran.

Disebabkan pelbagai kekangan dan syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa, ramai penjual sayur dan pemandu lori sayur mengadu mereka sanggup menghentikan perkhidmatan bagi mengelakkan kesulitan ini.

Menurut Pengerusi Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Wong Keng Fatt, anggaran 50 peratus gerai sayur akan tutup setelah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah bahawa hanya dua pekerja asing dibenarkan sewaktu pasar beroperasi.

Wong berkata, seramai lebih kurang 5,000 orang akan bekerja di pasar borong itu pada hari biasa dan kini hanya tidak sampai 1,000 orang setelah sekatan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya, 80 peratus gerai sayur bergantung kepada pekerja asing, maka banyak gerai akan tutup mulai esok (hari ini) kerana kekurangan pekerja.

Di bawah PKP ini, Wong berkata lebih kurang 40 peratus pasar di Kuala Lumpur sudah tutup, namun bekalan sayur masih mencukupi sehingga menyebabkan bekalan terlalu banyak dan hampir 30 peratus sayur dibuang setiap hari di pasar borong.41

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/tidak-memadai-dengan-umum-bekalan-makanan-cukup-tapi/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook