PKP Penuh : Rakyat lihat Kerajaan teragak-agak, terlalu jaga hati tauke besar – Pemuda Umno

PKP Penuh : Rakyat lihat Kerajaan teragak-agak, terlalu jaga hati tauke besar – Pemuda Umno

Rakyat hari ini melihat kerajaan terlampau ingin menjaga hati tauke-tauke besar berbanding memelihara hati rakyat biasa, kata Pemuda Umno.

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia dapat dilihat apabila kerajaan seakan teragak-agak untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan penuh seperti yang diminta oleh rakyat, susulan kes peningkatan mendadak Covid-19.

“Data dan Sains juga menunjukkan kilang-kilang milik tauke dan MNC (Multinational Corporation) penyumbang terbesar hingga 50 peratus penularan wabak Covid-19, tapi terus dibenar beroperasi sedangkan peniaga kecil, penjaja, pengusaha kantin, pekerja gaji hari dan lain-lain berhadapan situasi ‘buka-tutup’ tiada penghujung.

“Kerajaan di persepsi rakyat hari ini terlalu nak jaga hati tauke-tauke besar dan para kapitalis yang berorientasikan memaksimumkan keuntungan berbanding rakyat marhaen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, melalui kenyataan rasmi Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang lebih ketat pada sidang akhbar hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

‘Tiada jaminan penularan dapat dikekang jika kilang dibuka’

Asyraf berkata, rakyat lebih rela berdepan PKP menyeluruh selama 14 hari hingga 21 hari berbanding menghadapi situasi PKP berulang kali yang seperti tiada kesudahannya.

“Tiada jaminan penularan Covid-19 dapat dikekang sekiranya kilang-kilang tetap beroperasi walau PKP diperketatkan.

“Realitinya, pekerja-pekerja kilang bukan tinggal dalam kompaun kilang. Mereka tinggal dalam komuniti, membeli-belah di pasar raya sama dengan masyarakat,” katanya.

Semalam, bekas perdana menteri Najib Razak turut menyuarakan perkara sama.

“Kilang-kilang milik MNC dan tauke-tauke besar tak gulung tikar atau pindah ke negara lain dan masih mampu bayar gaji penuh semua pekerja jikapun diarahkan untuk tutup 14 hari atau 1 bulan.

“Tapi bagaimana pula dengan gerai tepi jalan, pengusaha kantin, operator bas sekolah/ekspress, pemandu grab/teksi, pekerja harian, pusat hiburan, penjaja, kedai-kedai kecil, pusat tuisyen, pusat solek, homestay, pengusaha pelancongan, kedai gunting, kedai solek dan sebagainya yang diperlukan untuk dua bulan tutup, dua bulan buka, dua bulan tutup tanpa penghujungnya pada ketika ramai pelanggan tak berani keluar sebab kes Covid semakin tinggi?” soalnya.

Pada hantaran itu, Najib turut menyiarkan pautan berita mengenai gesaan peniaga kecil dan penjaja agar PKP sepenuhnya dilaksanakan segera.

“Jika diperlukan berkorban sebab keadaan tak terlalu kritikal, kita sama-sama berkorban untuk kebaikan bersama jangkamasa panjang,” kata bekas presiden Umno itu.

Pada Disember lalu, Kluster Teratai yang kebanyakannya terdiri daripada pekerja Top Glove, mencatatkan 5,540 kes ketika itu dan merupakan kluster aktif terbesar di Malaysia.

Semalam, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk menerapkan SOP yang lebih ketat dan bukannya sekatan penuh.

FMM berkata sekatan penuh di bawah PKP, sama ada di seluruh negara atau di negeri seperti Selangor, boleh menyebabkan kesan buruk ekonomi yang tidak dapat dipulihkan.

Untuk rekod, kerajaan mengenakan PKP di seluruh negara mulai 12 Mei yang dijadualkan berlangsung hingga 7 Jun.

Pun begitu, perintah – yang dikenali sebagai “PKP 3.0” – adalah versi SOP yang jauh lebih longgar berbanding PKP pertama tahun lalu ketika semua aktiviti ditangguhkan kecuali untuk perkhidmatan penting.

Ia mendorong gesaan sesetengah pihak, termasuk Menteri Kesihatan yang mahukan PKP penuh, khususnya di Selangor kerana kes yang tinggi di negeri itu.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) turut menggesa kerajaan melaksanakan PKP secara penuh di seluruh negara sekurang-kurangnya bagi tempoh 21 hari.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/575670