PKP kali ini kerajaan hanya rugi RM600 juta sehari berbanding RM2.4 bilion sehari PKP 1.0 – Menteri

PKP kali ini kerajaan hanya rugi RM600 juta sehari berbanding RM2.4 bilion sehari PKP 1.0 – Menteri

Kerajaan menjangkakan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kali kedua menyebabkan negara kerugian RM600 juta sehari berbanding RM2.4 bilion sehari pada Mac hingga Mei, tahun lepas.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata tidak seperti sebelumnya, PKP 2.0 membenarkan lima sektor utama negara untuk terus beroperasi manakala perusahaan kecil dan sederhana serta mikro seperti gerai dan warung juga boleh dibuka.

Lima sektor terbabit adalah pengilangan dan pembuatan; pembinaan; perkhidmatan; perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan juga komoditi.

“Walaupun sektor-sektor ini masih beroperasi, kita tidak boleh membiarkannya kepada keadaan (dan perlu bersedia).

“Tempoh pelaksanaan PKP kali ini turut bergantung kepada kawalan penularan kes jangkitan Covid-19,” katanya dalam sesi taklimat media mengenai pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) di Putrajaya, hari ini.

Pakej tersebut telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam yang bertujuan memerangi pandemik Covid-19, menjaga kesejahteraan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan berikutan pelaksanaan PKP kedua.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata pakej Permai merupakan penambahbaikan bagi inisiatif yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 serta inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang sedang dilaksanakan.

Malah, katanya pakej Permai juga dirangka khusus bagi perniagaan yang tidak dapat dijalankan seperti biasa.

“Setakat ini, kita telah dapat mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini juga antara sebab pakej Permai ini dilaksanakan,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, KDNK Malaysia bagi suku ketiga 2020 mencatat penguncupan 2.7 peratus iaitu antara terbaik dalam kalangan negara-negara Asean berbanding Singapura (-7 peratus), Indonesia (-3.5 peratus), Filipina (-11.5 peratus) serta negara maju seperti Amerika Syarikat (-2.9 peratus).

Dia berkata, walaupun kerajaan memberi peruntukan RM15 bilion dengan suntikan fiskal tambahan RM6.6 bilion melalui Permai, namun unjuran defisit fiskal kerajaan tidak berubah pada 5.4 peratus setakat ini.

“Rakyat perlu faham bahawa kerajaan telah melakukan yang terbaik dan pada masa sama sentiasa berbincang dengan Kementerian Kesihatan dari sudut ekonomi untuk memastikan usaha yang dilakukan adalah seimbang,” katanya. – MK