PKP esok : Apa SOP sekolah di Selangor?, Tanya PH kepada KPM

PKP esok : Apa SOP sekolah di Selangor?, Tanya PH kepada KPM

Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera memperincikan prosedur operasi standard (SOP) bagi sekolah di Selangor yang akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Gesaan itu susulan pengumuman terbaru kerajaan semalam bahawa enam daerah di Selangor akan diletakkan di bawah PKP bermula esok hingga 17 Mei.

“Adakah sekolah-sekolah di bawah kawasan PKP akan ditutup serta-merta atau ia akan diteruskan sehingga cuti Hari Raya bermula?

“Pengumuman dengan kadar segera perlu dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia memandangkan ada sekolah yang sedang melangsungkan Peperiksaan Pertengahan Tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, cuti Aidilfitri yang dijadualkan bagi sekolah di Selangor adalah pada 8 hingga 16 Mei.

Ini bermakna terdapat dua hari persekolahan, iaitu esok dan Jumaat yang masih menjadi persoalan bagi sekolah di daerah Selangor yang akan diletakkan di bawah PKP bermula esok.

Tambah jawatankuasa itu lagi, pengumuman awal daripada KPM akan memudahkan urusan pihak sekolah menyusun semula jadual peperiksaan dan mengekalkan fokus para murid.

Ia juga, katanya, dapat membantu ibu bapa menyusun semula pengurusan keluarga mereka.

Selain itu, dalam kenyataan sama, jawatankuasa berkenaan menggesa kerajaan menjelaskan proses pergerakan murid pulang ke rumah dari asrama masing-masing.

“Adakah ibu bapa yang perlu mengambil anak mereka dari asrama akan diberikan pelepasan merentas daerah dan negeri sempena pelaksanaan PKP kali ini memandangkan PKP kali ini dikuatkuasakan di musim perayaan?” soalnya.

Jawatankuasa itu mencadangkan agar pihak sekolah diberi kuasa mengeluarkan surat makluman pengambilan anak di asrama sebagai bukti apabila merentas daerah dan negeri nanti.

“Penggunaan surat makluman itu membolehkan ibu bapa tidak perlu hadir ke balai polis untuk mendapatkan kelulusan rentas daerah dan negeri memandangkan ia mengambil masa yang lama,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR, Teo Nie Ching dari DAP dan Dr Hasan Baharom dari Amanah.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengenakan PKP ke atas enam daripada sembilan daerah di Selangor bermula esok hingga 17 Mei.

Enam daerah itu ialah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Keputusan pelaksanaan PKP ini, kata Ismail dibuat setelah mengambil kira peningkatan mendadak kes positif Cobid-19 dengan Selangor mencatatkan jumlah kes harian tinggi sejak 20 April.

Pada 26 April lalu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan bahawa sesi persekolahan selepas cuti Aidilfitri akan diteruskan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka.