PKP : Dulu bagi alasan sibuk, sekarang dah boleh buat

PKP : Dulu bagi alasan sibuk, sekarang dah boleh buat

Kita diarah duduk di rumah. Ada yang keluh kesah. Tak boleh nak mengeteh. Tak boleh nak kenduri. Tak boleh nak main futsal. Tak boleh gi jalan-jalan makan angin. Tak boleh nak balik kampung. Ada orang tak kisah semua itu, tapi dia jadi sangat susah hati sebab tak boleh memancing.

Tapi, banyak sebenarnya yang dulu kita tak mampu nak buat selalu, sekarang kita boleh buat lebih kerap.

Kita boleh lebih kerap bangun malam berqiyamullail. Kita boleh kerap membaca Al Quran. Kita boleh lebih kerap meneliti kitab-kitab hadith. Kita boleh baca kitab-kitab sirah. Kita boleh memperbanyakkan hafazan surah-surah di Al Quran. Kita boleh menambah solat-solat sunat rawatib. Semua ini ada kalanya sangat sukar kita lakukan pada waktu-waktu biasa.

Kita juga ada peluang mengemas rumah. Baju-baju saiz S dan M sepuluh tahun dulu yang masih tersimpan di almari sudah boleh diasingkan. Seluar-seluar yang ketat juga boleh diasingkan.

Pasu-padu bunga yang pokoknya sudah mati, mungkin perlu tanaman semula.

Ada banyak yang boleh kita buat.

Harapnya, sejurus selepas PKP ini tiada lagi keluhan keadaan rumah masih seperti dulu. Ilmu pun sama macam sebelumnya. Hafazan Al Quran tiada tokok tambah.

Ibarat para nelayan di musim tengkujuh. Diwaktu laut garang bergelora mereka membaiki kerosakan bot, menampal jaring dan pukat, serta mengajar anak-anak mengaji Quran.