‘Pit Stop’ pelancongan Sungai Melaka bertambah

Kerajaan negeri akan membina beberapa jeti di lokasi pelancongan baharu yang sudah dikenal pasti di sepanjang laluan ‘River Cruise’ Sungai Melaka menjelang awal tahun hadapan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata perbincangan di antara pengusaha dengan pihak River Cruise telah dilakukan dan akan disiapkan bagi menarik lebih ramai pelancong singgah ke produk pelancongan baharu negeri.

Katanya, antara lokasi yang telah dikenal pasti adalah di Makan Avenue Cendol Kampung Hulu, di mana sebuh jeti akan dibina untuk memudahkan pelancong yang menaiki River Cruise boleh berhenti untuk makan.

“Perbincangan di antara kedua pihak telah dijalankan dan pembinaan jeti ini di lokasi baharu pelancongan yang kebanyakannya adalah di tepi Sungai Melaka dan hubungan diantara produk baharu dengan River Cruise perlu ditingkatkan.

ADLY dan Chee Leong (kanan) ketika menyerahkan poster larangan merokok kepada pengusaha produk baharu pelancongan negeri untuk diletakkan di premis berkenaan.

“Begitu juga di Kampung Morten, jeti di situ akan dinaik taraf dan digunakan semula untuk dimanfaatkan oleh semua pihak termasuk pelancong juga boleh ke sana bagi mendapatkan produk yang dijual di sana sekaligus dapat meningkatkan lagi produk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Lawatan Kerja Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Laksamana, di Makan Avenue Cendol Kampung Hulu, di sini, petang semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong.

Dalam lawatan kerja beliau ke Dun terbabit, beliau turut melawat ke Kampung Chetti dan meninjau lokasi pelancongan yang terkenal dengan kaum peranakan Chetti.

Katanya, Kampung Chetti akan dikekalkan sebagai tapak warisan pelancongan dan beberapa isu sebelum ini melibatkan kawasan banjir di sana telah diselesaikan.

“Kita sudah berjaya menyelesaikan sebahagian kawasan yang kerap banjir dan tidak akan berlaku banjir lagi di kawasan terbabit.

“Bagi tempoh jangka panjang, bagi menaikkan semula Kampung Chetti ini sebagai lokasi tumpuan pelancong, kita akan berbincang dengan biro promosi pelancongan untuk mengangkat kampung ini semula sekali gus mengangkat produk pelancongan di situ,” katanya.