Pihak yang gagal telah berundur, masa untuk pandang ke hadapan – Zahid

“Kini masa untuk kita semua perlu memandang ke hadapan selepas pihak yang gagal telah pun diundurkan.”

Demikian jelas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai politik semasa negara, dalam hantaran terbaharunya di Facebook hari ini.

Namun jelas beliau, realitinya kita semua tahu penyokong dan pendukung pihak yang telah kehilangan kuasa masih tidak puas hati maka sedang memperhebatkan dakyah ke atas UMNO terutama Presidennya.

Pihak yang gagal telah berundur

Menurut beliau, ini gara-gara tersangat geram dan marah jawatan serta kedudukan pemimpin mereka hilang selepas 18 bulan di puncak kuasa.

“Walaupun ini lumrah, namun agak sedih kerana mereka tidak pula memikirkan tentang geram dan marah rakyat terhadap kegagalan yang menyebabkan hampir 13,000 nyawa telah terkorban.

“Setiap hari beratus insan tidak bersalah meninggal dunia sehinggakan tanah kubur untuk jenazah umat Islam dikatakan semakin terhad. Berpuluh ribu perniagaan dilaporkan gulung tikar dan jutaan orang hilang mata pencarian gara-gara dasar dan polisi yang bias.

“Alasan penyokong dan pendukung mereka cukup mudah iaitu negara lain pun ramai mati – tanpa menyentuh tentang aspek populasi dan saiz sesebuah negara,” katanya.

Ahmad Zahid memberitahu, seperti juga pernah beliau katakan, UMNO yakin jumlah kematian dan kes jangkitan serta kesan buruk pandemik terhadap ekonomi Malaysia tidak sepatutnya begitu parah.

Malah jelasnya, jika dari awal ia diuruskan dengan baik tanpa terlalu beragendakan ‘politicking’ sehingga apa yang wajar dilaksanakan ditolak ke tepi hanya kerana dicadangkan oleh parti UMNO.

“Seperti diramalkan mereka kini sedang hebat memainkan propaganda sayu dan pilu atau apa disebut sebagai ‘play victim’ untuk mengelirukan rakyat. Pertama, memperdaya fikiran rakyat konon patut berasa sedih kerana pemimpin mereka terpaksa meletak jawatan.

“Caranya dengan ‘mewayangkan’ pemimpin mereka telah hampir berjaya menyelamatkan rakyat dan negara daripada pandemik. Konon tidak dapat meneruskannya selepas kehilangan kuasa dan kini negara dalam bahaya,” katanya.

Beliau berkata, sedangkan negara sememangnya telah pun dalam bahaya apabila jumlah yang dijangkiti setiap hari kini melebihi jumlah yang sembuh.

“Jumlah kes kematian hampir 300 setiap hari dengan kes aktif Covid-19 dalam kalangan penduduk Malaysia hampir 250,000 orang.
Hampir berjaya yang dimaksudkan iaitu kira-kira 10 juta orang telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 sedangkan PICK telah bermula sejak Februari lalu.

“Itu pun jumlah suntikan hanya dipertingkat dengan ketara selepas Ordinan Darurat sudah ada bayangan terpaksa ditamatkan dan UMNO membuat keputusan menarik balik sokongan,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, kedua, menghasut fikiran rakyat supaya menyalahkan pimpinan UMNO dan Presidennya konon rakus kuasa.

“Walhal hakikat sebenar pemimpin mereka meletak jawatan selepas kegagalan membendung penularan Covid-19. Kegagalan itu yang menyebabkan majoriti parti politik dan ahli Parlimen hilang kepercayaan.

“Bukan kerana 1MDB, kes mahkamah atau ada pihak mahu merebut kuasa seperti yang dituduh berulang kali dalam perutusan.

“Jika pemimpin mereka berjaya mentadbir negara dan menguruskan pandemik Covid-19 dengan bagus maka tiada alasan atau sebab untuk mana-mana pihak mendesak beliau berundur,” katanya.

Beliau kemudiannya menulis: “Nasihat saya kepada yang bermati-matian menghasut, menghina, mencerca, memfitnah saya, kepimpinan parti dan UMNO, saya memaafkan semuanya, dengan iringan doa semoga Allah mengampunkan segala dosa dan kekhilafan kita, rahmat dan reda Allah jualah yang kita harapkan”.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/mereka-kini-hebat-memainkan-propaganda-sayu-pilu-ahmad-zahid/

BACA JUGA : Johor masih tak benarkan 11 aktiviti ekonomi dibuka