PH umum deklarasi Port Dickson untuk hadapi PRU15, perkemas gerakerja dan kesatuan

PH umum deklarasi Port Dickson untuk hadapi PRU15, perkemas gerakerja dan kesatuan

Pakatan Harapan memutuskan akan mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan prinsip dan Agenda Reformasi demi kepentingan Rakyat.

Di dalam pemukiman pimpinan Pakatan Harapan yang berlangsung di Port Dickson bermula semalam juga mendesak Perdana Menteri untuk segera menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memanggil sidang Parlimen dan senafas dengan itu menamatkan Darurat.

Selain itu, Pakatan Harapan juga memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 seterusnya akan diangkat sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.

“Kami mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus memperkukuh Pakatan Harapan dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 dan seterusnya memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah Negara dengan amanah, demokratik dan adil,” katanya.

Bahkan katanya, usaha memulihkan negara terletak pada kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15, justeru usaha menggembleng seluruh kekuatan perlu berasaskan Prinsip dan Agenda Reformasi, manakala kelangsungan Kerajaan bergantung kepada kestabilan dan keutuhan Politik.

Pakatan Harapan juga mengiktiraf potensi dan kepentingan Wilayah Sabah dan Sarawak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi yang baharu dalam memacu pembangunan negara, dengan jaminan pengagihan sumber yang lebih saksama, seiring dengan sinergi pembangunan ibukota baharu Indonesia di Kalimantan

“Kami akan menggerakkan semua wakil rakyat dan pimpinan negeri untuk memerah seluruh potensi dan keupayaan bagi menangani isu-isu dasar berkait pemulihan Ekonomi dan kesejahteraan Rakyat.

“Kami juga akan meneruskan proses libat urus bersama semua pemegang taruh untuk membentuk manifesto Pakatan Harapan

“Kami akan memulakan siri jelajah ke negeri-negeri untuk memberikan penerangan kepada rakyat berkait pendirian dan tawaran Pakatan Harapan menyentuh isu Ekonomi Rakyat, Kestabilan Politik dan Krisis Pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, katanya pandemik COVID-19 telah mendatangkan dampak yang cukup mendalam kepada rakyat, ekonomi dan negara, dan dasar-dasar Perikatan Nasional jelas gagal menangani sepenuhnya

Bahkan, katanya demokrasi di Malaysia telah parah akibat malapetaka pengkhianatan dan pembelotan politik yang terkutuk sehingga menyebabkan kepercayaan Rakyat terhadap Demokrasi itu sendiri luntur dan terhakis

Justeru, Pakatan Harapan sedar rakyat mengharapkan suara, harapan, kegusaran dan rintihan mereka difahami, dijuarai dan diperjuang, termasuk dalam isu kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

“Pakatan Harapan adalah sebuah pakatan politik yang dinamik, demokratik dan pragmatik yang bersedia menggalas tanggungjawab besar memulihkan Negara,” katanya

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/retreat-ph-deklarasi-port-dickson-sedia-kerjasama-pihak-yang-terima-agenda-ph/