PH tawarkan calon muda PRK Semenyih 2 Mac ini 

Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali hari ini diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang dijadual berlangsung awal bulan depan.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PH merangkap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini.

Muhammad Aiman, 30, merupakan seorang jurutera yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam Bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini adalah PRK keenam diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14), dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Hadir pada pengumuman nama calon PH itu ialah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam reaksinya, Muhammad Aiman, yang juga menantu kepada Allahyarham Bakhtiar, berkata beliau bersedia bekerja keras untuk menang PRK itu dan seterusnya berkhidmat serta berusaha menyelesaikan masalah pengundi dan penduduk Semenyih.

Beliau menegaskan statusnya sebagai menantu Allahyarham Bakhtiar bukan kelebihan untuknya dipilih sebagai calon PH.

Ini kerana, kata Muhammad Aiman, beliau telah melalui saluran sewajarnya dalam proses pemilihan calon sehingga namanya sebelum ini disenarai pendek dalam kalangan beberapa individu yang boleh diangkat sebagai calon.

“Saya harus berusaha atas (kemampuan) diri saya sendiri,” katanya.

Beliau juga berkata selain isu pendidikan, soal infrastruktur seperti jalan dan sebagainya akan diketengahkannya sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Pada PRU14, Allahyarham Bakhtiar, 57, daripada Bersatu yang mewakili PH menewaskan tiga calon lain – Datuk Johan Abd Aziz (Barisan Nasional), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM), dengan majoriti 8,964 undi. Bakhtiar memperoleh 23,428 undi.

Bercakap pada sidang media, Muhyiddin berkata Muhammad Aiman mampu menjalankan kerja dan amanah sebagai wakil rakyat walaupun masih muda.

“Beliau tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua, kelayakan dia pun saya sudah semak betul-betul, ijazah sarjana muda beliau sah dari UiTM dalam bidang kejuruteraan,” katanya, merujuk kepada Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kelas Pertama) yang diperoleh Muhammad Aiman dari UiTM Shah Alam pada 2012.

Beliau turut berkata Muhammad Aiman, yang telah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata, juga sering mengikuti arwah bapa mentuanya turun bertemu rakyat.

Hari penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan pada Sabtu ini (16 Feb), manakala hari mengundi awal pada 26 Feb.

Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan pemilihan Muhammad Aiman sebagai tepat dan yakin keperibadian dan latar belakang pendidikan mantap dimilikinya menjadi antara kelebihan yang mampu menawan hati pengundi Semenyih.

“Permintaan rakyat di sini ialah supaya calon orang tempatan. Aiman orang sini, dengan ketokohan, tahap pendidikannya tinggi, jujur dan dekat dengan rakyat (pemilihannya) adalah pilihan tepat bagi PH,” kata Menteri Besar Kedah itu kepada pemberita selepas merasmikan bilik gerakan PH di Taman Semenyih Indah malam ini.

Mukhriz juga berkata jentera parti sudah bersiap siaga untuk berkempen.

“Jentera Bersatu sudah bersedia dan paling penting, rakan-rakan parti dalam PH juga bersedia untuk membantu dan ia menjadi bukti kepada rakyat bahawa gabungan ini mantap,” katanya.