PH sedia terima semua asalkan berprinsip – Anwar

Pakatan Harapan mengambil sikap terbuka kepada sesiapa sahaja untuk bersama-sama membentuk sebuah pembangkang yang kuat dengan syarat mesti berpegang pada prinsip.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mana-mana parti atau individu yang mahu bersama Pakatan Harapan mesti menerima dasar tata kelola yang baik, ‘good governance’, tolak rasuah, terima agenda reformasi demi negara dan rakyat.

“Kalau setuju dengan prinsip PH, kita rangkul semua.

“Saya setuju bukan dengan orang atau dari parti mana tetapi dengan prinsipnya,” kata beliau di sidang media selepas majlis Sepetang 2021 Bersama DS Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan prinsip itu bukan prinsipnya tetapi prinsip yang diterima pakai yang menjadi landasan dan perjuangan dalam Pakatan Rakyat dan PH selama ini.

“Kita mengajak rakan-rakan dalam PN berdasarkan prinsip yang kita pegang mereka setuju atau tidak itu hak mereka kita tidak boleh paksa.

“Sebab kita mahu kekuatan pembangkang atau kerajaan mandat rakyat yang lebih mantap,” katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya Anwar menegaskan prinsip tata kelola yang baik akan menjamin kesejahteraan dan kekuatan ekonomi negara yang secara tidak langsung akan merawat masalah kemiskinan serta meningkatkan perpaduan antara rakyat.

“Kita akan bekerja dengan lebih baik demi rakyat yang telah pun menonjolkan ketabahan tatkala dirundung zaman susah hari ini.

“Kita akan meningkatkan usaha dan segala upaya yang ada bagi memenuhi aspirasi rakyat Malaysia. Kita akan perkuatkan teras kita, justeru seluruh negara akan sihat dan kembali bangkit,” katanya.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/ph-terima-siapa-sahaja-bukan-individu-parti-tetapi-prinsipnya-kata-anwar/

COMMENTS

Wordpress (0)