Berhubung Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Dr Mahathir berkata PH yakin dapat mengekalkan kerusi itu walaupun ada pihak meramalkan sokongan orang Melayu terhadap kerajaan berkurangan.
Perdana Menteri berkata isu berkaitan kegagalan menunaikan manifesto tidak memberi kesan besar, malah rakyat sedar kekangan yang ada untuk melaksanakan semua perkara yang dijanjikan.
“Sebenarnya banyak perkara dalam manifesto ditunaikan kecuali perkara yang memerlukan pindaan perlembagaan seperti mengadakan tempoh jawatan Perdana Menteri dan had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.
“Kita percaya rakyat tidak merasai tertekan dengan kerajaan kerana kita tidak melakukan perkara yang salah seperti terlibat rasuah, malah di mana-mana sahaja saya pergi ramai rakyat yang hadir untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan,” katanya.
Mengenai dapatan kononnya 60 peratus orang Melayu menolak PH dan Putrajaya ditadbir bukan Melayu dan beliau hanyalah boneka, Dr Mahathir berkata ia tidak benar dan menyimpang dari realiti.
“Mereka mereka-reka cerita kononnya PH ditadbir oleh DAP dan saya hanya boneka… tapi saya bukan boneka. Itulah yang dimainkan dalam kempen,” katanya.
Ditanya mengenai populariti yang kini diraih bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr Mahathir berkata hal itu antara lain disebabkan dasar kerajaan yang memberikan kebebasan kepada bekas presiden UMNO itu untuk bersuara.
Perdana Menteri berkata keadaan itu tidak berlaku semasa Najib berkuasa di mana individu yang ditahan pihak berkuasa dipakaikan dengan baju lokap serta dimasukkan ke penjara seperti kes Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Maria Chin.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir turut mengumumkan pelantikan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan.