PH beritahu SPRM siasat kenapa hidupkan projek gas Sabah RM9.4 bilion

Pakatan Harapan (PH) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat keputusan Putrajaya pada Februari lalu menghidupkan semula dua projek saluran paip di Sabah yang bernilai RM9.4 bilion.

Majlis Presiden PH mendakwa 88% atau RM8.3 bilion daripada nilai pembinaan keseluruhan sudah dibayar, walaupun kemajuan kerja belum diaudit hanya mencapai 13% setakat Mei 2018.

Gabungan pembangkang itu terkejut dengan keputusan kerajaan menghidupkan semula projek kontroversi Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP).

PH beritahu SPRM siasat kenapa hidupkan projek gas Sabah RM9.4 bilion

Pakatan Harapan terkejut dengan keputusan kerajaan menghidupkan semula projek kontroversi Saluran Paip Gas Trans-Sabah dan Saluran Paip Pelbagai Produk.

Katanya, nilai pembinaan keseluruhan dua projek itu sekitar RM9.4 bilion tanpa mengambil kira kos tambahan pelbagai pengurusan pakar dan pengambilan tanah sebanyak RM1.7 bilion.

“SPRM wajib menyiasat sepenuhnya mengapa projek TSGP dan MPP yang telah gagal ini dimulakan semula pada 10 Feb lalu oleh kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau.

Persoalan timbul berhubung keputusan menghidupkan semula dua projek itu yang dibatalkan kerajaan PH pada 2018.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin mula membangkitkan isu itu selepas mendapat tahu projek berkenaan dihidupkan semula, susulan jawapan bertulis Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat.

Sementara itu, PH turut menggesa SPRM melipat gandakan usaha menyiasat pendedahan oleh Kertas Pandora yang menamakan sejumlah tokoh korporat dan ahli politik didakwa memiliki akaun luar pesisir.

“Sama ada duit yang disimpan di dalam akaun-akaun ini berasal daripada sumber sah atau kegiatan yang melanggar undang-undang.

“Mendukacitakan jika SPRM tiada keupayaan memperoleh maklumat khusus dan perlu bertanyakan Ketua Pembangkang tentang Kertas Pandora, sungguhpun beliau tidak memiliki sumber yang dimiliki SPRM dan juga kepakaran siasatan khas berkait isu ini.”

BACA JUGA : KKM beri jaminan vaksin campuran untuk dos penggalak selamat
Panas !!! Tular Rauf calon KM Melaka, ini respons Sulaiman
Panas !!! Zahid tak percaya Mat Hasan, Ismail Sabri jaga UMNO

Artikel ini disiarkan pada 24/10/2021

COMMENTS

Wordpress (0)