Pesawat Hong Kong berlepas tahun 2025 tapi mendarat tahun 2024, ini sebabnya

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Sebuah penerbangan Cathay Pacific 880 yang berlepas dari Hong Kong pada tahun 2025 telah mencipta sejarah unik apabila “kembali ke masa lalu”

Dan mendarat di Lapangan Terbang Los Angeles pada tahun 2024. Kejadian ini berlaku beberapa minit selepas China menyambut kedatangan tahun baru 2025, menurut laporan New York Post.

Pesawat itu terbang selama hampir 14 jam sebelum akhirnya mendarat di Los Angeles pada 31 Disember 2024, sekitar pukul 10 malam (Waktu Pasifik).

Fenomena ini terjadi kerana perbezaan zon masa antara Hong Kong dan Amerika Syarikat.

Penerbangan tersebut melintasi sembilan zon masa berbeza dan juga Garisan Tarikh Antarabangsa di Lautan Pasifik, menyebabkan pesawat itu seakan-akan “kembali” ke tahun sebelumnya sebaik tiba di Amerika Syarikat.

Pesawat Hong Kong berlepas tahun 2025 tapi mendarat tahun 2024, ini sebabnya

Kejadian ini bukanlah kali pertama pesawat mengalami pengalaman seperti ini. Sebelum ini, penerbangan trans-Pasifik yang berlepas pada malam Tahun Baru seringkali menjadi pilihan ramai penumpang antarabangsa, kerana mereka berpeluang merayakan tahun baru dua kali. Penerbangan ini memberikan pengalaman luar biasa, membolehkan penumpang merasai kegembiraan sambutan tahun baru di dua lokasi berlainan.

Namun begitu, tidak semua penerbangan “pengembaraan masa” berjalan lancar. Sebagai contoh, penerbangan United Airlines yang dijadualkan berlepas pada 1 Januari 2024 dari Guam mengalami kelewatan enam jam. Akibatnya, penumpang tidak dapat merayakan Tahun Baru kedua di Hawaii kerana pesawat masih berada di udara.

Terdapat juga kes lain di mana para penumpang terlepas kedua-dua sambutan tahun baru sekaligus. Salah satu insiden melibatkan penerbangan Air New Zealand 27 yang berlepas dari San Francisco pada petang 31 Disember.

Namun, disebabkan faktor-faktor tertentu, penerbangan ini mengambil masa lebih 12 jam dan hanya tiba di Auckland pada pagi 2 Januari, menyebabkan penumpang terlepas kedua-dua perayaan Tahun Baru.

BACA: Ketua Dewan Ulamak Pas Selangor mohon maaf, sengaja fitnah PMX