Peruntukan Covid-19 : Sepatutnya RM30 bilion bukan RM3 bilion – Dr Mahathir

Peruntukan Covid-19 : Sepatutnya RM30 bilion bukan RM3 bilion – Dr Mahathir

Setelah menolak Belanjawan 2021 menerusi kenyataan tegas, Dr Mahathir Mohamad menggunakan Facebook untuk terus menyelar belanjawan itu sebagai “merosakkan kewangan negara” dan gagal memberikan rakyat bantuan bersasar yang diperlukan.

“Kita berada dalam keadaan kritikal dari segi ekonomi dan kesihatan. Untuk melawan Covid-19, kerajaan hanya beri RM3 bilion, tetapi (memperuntukkan) RM11 bilion untuk Jabatan Perdana Menteri.

“Saya dapati, sebahagian besar belanjawan yang dibuat tidak sesuai dengan zaman dan masa ketika ini di mana kita lihat duit hanya diberikan kepada orang ramai (supaya) mereka akan rasa lega dan sokong kerajaan,” kata Mahathir dalam temu bual eksklusif bertajuk Aspirasi Belanjawan Perpaduan yang disiarkan secara langsung di Facebook beliau,

Mahathir berkata kerajaan seharusnya menggandakan peruntukan berkaitan Covid-19 daripada RM3 bilion kepada RM30 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion itu dikatakan terbesar dalam sejarah namun ia tidak dilaksanakan secara bersasar untuk memberi keutamaan kepada keperluan rakyat.

“Kita lihat dalam keadaan krisis kesihatan ketika ini, kesihatan rakyat menjadi keutamaan. Banyak perbelanjaan ketika ini perlu ditanggung oleh rakyat terutama ujian saringan Covid-19,” katanya.

Beliau juga meminta kerajaan menangguhkan projek yang tidak memberi implikasi dari segi perundangan negara agar tumpuan boleh diberikan kepada sektor-sektor yang memerlukan pembelaan.

“Kita perlu berhati-hati. Yang mana perlu, kita tamat, tangguh atau teruskan. Khususnya dalam menjaga kewangan negara. Negara sekarang ini miskin kerana perniagaan tidak berjalan dengan baik menyebabkan mereka tiada untung dan tidak dapat bayar cukai.

“ Dalam belanjawan kali ini, hanya kata ia terbesar (tetapi) ini bakal merosakkan kewangan negara,” kata Mahathir.

Beliau sebelum itu mengeluarkan kenyataan bahawa Pejuang yang dipimpinnya menolak Belanjawan 2021 kerana ia ‘mengecewakan” dan kerajaan tidak memperlihatkan kesediaan mendengar keluhan rakyat.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/25/peruntukan-perangi-covid-19-patut-rm30-bilion-bukan-rm3-bilion-kata-mahathir/

COMMENTS