Peruntukan besar JASA akan lumpuhkan lagi kecederaan demokrasi negara kita – Mujahid

Peruntukan besar JASA akan lumpuhkan lagi kecederaan demokrasi negara kita – Mujahid

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berpendapat Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang akan ‘dihidupkan’ semula dijangka menjadi alat pembelotan demokrasi.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, suara membantah akan didiamkan melalui Akta Hasutan, Kanun Keseksaan serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Malangnya, Belanjawan 2021 bukan untuk konsolidasi demokrasi tetapi belanjawan ini mengambil kesempatan untuk konsolidasi kuasa PN (Perikatan Nasional) yang dipertikaikan melalui peruntukan besar RM81 juta Jasa yang hanya akan melumpuhkan lagi kecederaan demokrasi negara kita,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, beliau akan menolak Belanjawan 2021 yang memperuntukkan RM322.5 bilion, jumlah terbesar dalam sejarah Malaysia, jika kerajaan PN tidak mempedulikan usaha pemulihan demokrasi.

“Sementara saya bersetuju tujuan selamatkan nyawa dan kelangsungan kehidupan diperlukan tetapi saya akan menolak jika pemulihan demokrasi yang teruk dilanggar diabaikan oleh kerajaan dalam belanjawan ini!” tegasnya.

Mengulas lanjut, Mujahid turut mempersoal tiadanya peruntukan bagi menyuntik kesegaran demokrasi walhal, jelasnya, demokrasi adalah jaminan utama terhadap kejayaan teras untuk menyelamatkan nyawa dan kelangsungan kehidupan.

“Kita tidak boleh selamatkan nyawa tetapi pada waktu yang sama menyekat kebebasan dan hak bermaklumat melalui peruntukan undang-undang yang masih mengekang kebebasan ini seperti Akta Hasutan dan lain-lain.

“Kita menjangkakan dalam menangani krisis politik, satu peruntukan secara dasarnya yang saya namakan sebagai Inisiatif Konsolidasi Demokrasi (IKD) perlu diwujudkan,” ujarnya.

Tambahnya, segala ketidaktentuan dan kerapuhan suasana politik akibat pelanggaran pasca Februari lalu perlu dipulihkan dan diperbaiki sebelum bercakap tentang perpaduan nasional atau rekonsiliasi.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/tolak-belanjawan-2021-jika-abai-pemulihan-demokrasi-kata-mujahid/

COMMENTS