Pertumbuhan ekonomi Malaysia separuh kedua (2H19) dijangka lebih sihat

Pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi separuh kedua tahun ini (2H19) dijangka lebih sihat, didorong oleh pembangunan projek-projek mega walaupun dalam senario ekonomi global yang tidak menentu.

Pakar Ekonomi Maybank Kim Eng Group Lee Ju Ye berkata ini termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dihidupkan semula serta Projek Transit Aliran Massa 2 (MRT 2) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) yang akan menjadi faktor pertumbuhan bagi jangka panjang.

“Sudah pasti ada risiko penurunan dalam proses memasuki tempoh separuh kedua ini dan saya berpendapat Malaysia tidak akan terkecuali daripada impak ketegangan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat(AS)-China. Eksport masih negatif manakala sentimen pengguna dan perniagaan turut terjejas sedikit.

“Oleh itu, kami agak berhati-hati mengenai (prospek) separuh kedua kerana wujudnya banyak risiko itu. Namun, Malaysia akan meraih manfaat daripada semua pelaburan dan lencongan dagangan susulan konflik AS-China itu,” katanya kepada pemberita di luar program Unjuran Pasaran Separuh Kedua 2019 Maybank Investment Bank di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata minat firma asing untuk memindahkan operasi mereka ke Malaysia akan turut memberi faedah dari segi angka eksport lebih positif di masa depan menerusi sumbangan produk-produk pembuatan.

Menurutnya, ini menyebabkan keadaan yang mana Malaysia telah mengatasi kebanyakan negara-negara ASEAN lain yang sebaliknya merekodkan pertumbuhan lebih perlahan dalam suku kedua 2019 (2Q19).

Malah, Malaysia turut menjadi satu-satunya negara di rantau ini yang belum menurunkan unjuran ekonomi yang membantu dari segi angka lebih positif pada 2Q19.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua tahun ini pada 4.9 peratus juga merupakan satu kejutan dan mengatasi unjuran 4.7 peratus. Bagi saya, ini merupakan berita positif untuk negara.

“Antara bidang yang memacu pertumbuhan itu masih lagii perbelanjaan swasta yang kekal berdaya tahan selain pelaburan swasta yang juga positif. Bagi saya, Malaysia menyaksikan manfaat ini daripada impak perang dagangan AS-China,” katanya.

Menurut Lee, Malaysia turut mencatat kelulusan pelaburan langsung asing (FDI) yang amat kukuh sekitar 100 peratus pada 2018 dan disusuli perkembangan suku pertama 2019 apabila lebih banyak firma berminat untuk memindahkan operasi mereka ke sini.

Selain itu, mengulas kemungkinan berlakunya kemelesetan teknikal pada 2020 akibat ketidaktentuan ekonomi serta kesan perang dagangan AS-China, beliau berkata keadaan itu tidak seburuk 2008 kerana tidak membabitkan krisis kewangan global.

“Ini akan bergantung kepada sejauh mana tindak-tanduk China dan AS bagi beberapa bulan akan datang. Kita tidak menjangkakan sebarang kemelesetan pada 2019 tetapi kemungkinan itu ada pada 2020 sekiranya dua negara kuasa besar ekonomi itu terus bertelagah dan turut membabitkan aspek teknologi.

“Atas alasan ini, saya berpendapat ASEAN berkemungkinan besar memasuki 2020 dalam sentimen berhati-hati, terutamanya negara yang berorientasikan luaran seperti Singapura dan Thailand serta Malaysia di peringkat tertentu,” katanya.

Lee berkata, krisis pada masa ini lebih ke arah isu berkaitan dagangan berbanding persekitaran kemelesetan pada 2008 yang memberi impak lebih besar terhadap aspek ekonomi.

“Bagi negara seperti Singapura misalnya, kami tidak melihat kemelesetan itu seburuk yang pernah dilihat pada 2008 apabila tiga suku berturut-turut mencatat pertumbuhan negatif. ASEAN juga akan turut menyaksikan beberapa peluang apabila lencongan pelaburan itu berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Bhd Fad’l Mohamed pula berkata korporat Malaysia akan menyaksikan semula aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) pada separuh kedua tahun ini.

Menurutnya, aktiviti M&A dan penswastaan itu bergerak pada kadar lebih pantas dengan kira-kira 10 cubaan berkaitan pada separuh pertama tahun ini (1H2019) berikutan kelemahan pasaran meluas yang telah membuka nilai syarikat-syarikat terbabit.

“Syarikat-syarikat dalam sektor harta, keluli, perladangan dan teknologi adalah antara pihak yang memberi tumpuan lanjut terhadap M&A berikutan sektor-sektor itu menyaksikan kitaran penyusutannya.

“Penilaian itu telah mencecah paras optimum yang mana korporat kini aktif melihat usaha konsolidasi dan membeli aset baharu serta meningkatkan kapasiti. Oleh itu, kitaran penurunan dialami sektor tertentu sebaliknya membuka peluang pelaburan yang dapat menangani kelemahan jangka pendek pada masa ini,” katanya.

Maybank IB Research juga telah mengunjurkan bahawa ekuiti Malaysia akan terus memaparkan daya tahan dalam kelemahan persekitaran pasaran susulan jangkaan pertumbuhan KDNK global serta pertikaian perdagangan AS-China yang terus meruncing.

“Pasaran kekal disokong oleh pegangan pelabur yang strategik dan jangka panjang manakala pada masa sama, risiko dasar juga wujud. Malaysia juga berada pada kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada peningkatan pelaburan pembuatan dari luar negara akibat tindakan China melencongkan rantaian bekalannya ke ASEAN,” katanya.

Selain itu, firma penyelidikan tersebut menyifatkan langkah menyambung semula projek infrastruktur seperti ECRL sebagai berkemungkinan menyuntik rangsangan terhadap sentimen pelabur bagi kemajuan masa depan.

Maybank IB juga mengunjurkan strategi ekuiti teras bagi 2H2019 dengan sasaran akhir tahun FBM KLCI pada 1,680 mata.

Walaupun ketidaktentuan terus dijangkakan, firma tersebut berpendapat masih wujud peluang untuk pelabur meneruskan dagangan berdasarkan laporan serta keadaa semasa.

Antara saham utama pilihan firma itu adalah Tenaga Nasional Bhd, Genting Bhd, RHB Bank Bhd, BIMB Holdings Bhd, UMW Holdings Bhd, Kossan Rubber Industries Bhd, YTL Hospitality REIT, MBM Resources Bhd, dan Mynews Holdings Bhd.

BERNAMA