Pertemuan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa serta pendakwah dari India Dr Zakir Naik mendapat respon positif meskipun terdapat pihak yang mempertikaikannya.
Rata-rata masyarakat terutamanya umat Islam melihat ia merupakan satu pertemuan yang positif.
Difahamkan juga, pertemuan dua tokoh itu bertujuan untuk menerangkan konsep Rahmatan Lil Alamin serta Negara Rahmah yang diperkenalkan Mujahid dan ia diterima baik oleh Zakir.
Terdapat juga komen-komen di media sosial yang menyokong pertemuan dua pemimpin berkenaan.
Perkongsian gambar bersama Zakir di Facebook Mujahid turut mendapat sehingga 69,000 like.
Pengguna Facebook yang menggunakan nama Amirul Has memberitahu bahawa meskipun menyokong pembangkang namun sekiranya sesuatu perkara yang dibuat Mujahid tidak bercanggah syariat ia harus disokong.
“Bagi saya apa yang kerajaan buat, baik buat (untuk) diri mereka dan kita, kita kena sokong waima kita ini blok pembangkang. Apa yang bercanggah dengan syariat kita kena tentang habis-habisan. Teruskan Dr Mujahid dalam memperjuangkan agenda Islam,” ujar Amirul.
Bagi Mohd Hadi Chee Mee, dalam tulisan di ruangan komen Mujahid, dia membuat kesimpulan bahawa ramai yang menyukai anggota parlimen Parit Buntar berkenaan dan hanya segelintir pihak yang suka membuat onar di ruangan komen.
Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Kamarulbekamkini pula menulis:
“Kadang-kadang hairan juga bila mereka tak bertemu, kutuk, bila sudah bertemu hasut suruh berdebat pula. Jadilah rakyat yang berakal.”
Qalsom Bee pula melahirkan rasa syukur ekoran kesabaran dan kesederhanaan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam itu menunjukkan keberkesanan.
“Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah. Kesabaran dan kesederhanaan YB Mujahid telah menunjukkan keberkesanan,” kata Qalsom.
Azamdecrow Cartoonist pula melahirkan rasa gembira dengan pertemuan tersebut dan mendoakan kesejahteraan mereka.
“Ini berita yang membuatkan kami sayang kepadamu tuan Menteri. Dan Allah tentu-tentu lebih menyayangi. Doa kesejahteraan buat kalian berdua dan umat Islam seluruhnya. Amin.”