Presidennya, Musa Awang berkata, ini memandangkan persatuan sendiri daripada awal terlibat dalam usaha menggesa kerajaan menggubal undang-undang berkenaan bertujuan mengangkat profesionalisme peguam-peguam syarie di negara ini.
Pada masa sama beliau berkata, walaupun RUU hanya terpakai dalam Wilayah Persekutuan sahaja, PGSM berharap ia menjadi model undang-undang panduan dan contoh penyeragaman undang-undang profesion guaman syarie di negeri-negeri.
“PGSM yakin dan percaya bahawa negeri-negeri akan mengambil langkah yang sama dengan memperkenalkan Enakmen Profesion Peguam Syarie di negeri masing-masing.
“Pihak PGSM melalui cawangan di negeri-negeri bersedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri ke arah merealisasikan tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Musa, menyeragamkan undang-undang berkaitan profesion guaman syarie bukan sahaja dapat mengangkat profesionalisme peguam-peguam syarie, malah dapat menjadi pencetus ke arah memartabatkan institusi mahkamah syariah.
“Apa yang lebih penting, ia mampu mengelakkan kemudaratan kepada masyarakat, yang timbul akibat daripada ketidakseragaman tersebut.