Umat Islam diingatkan supaya mengukuhkan perpaduan negara sebagai persiapan bagi menghadapi ancaman musuh yang datang dalam pelbagai bentuk.
Penolong Pengarah Agama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia, ACP Ghazali Daud berkata dengan perpaduan akan lahir kekuatan yang mampu memberikan kejayaan dan kemenangan ketika menentang musuh.
“Di samping menyediakan kekuatan dalaman atau kerohanian, kita juga diperintahkan mempersiapkan kekuatan dari sudut luaran atau fizikal bagi menghadapi sebarang ancaman musuh.
“Ia termasuk mempersiapkan segala bentuk kekuatan, baik di bidang keselamatan, perekonomian, pendidikan, keagamaan sehinggalah kekuatan perpaduan,” katanya ketika membacakan khutbah khas solat Jumaat di Surau Utama Istana Negara, sempena Hari Pahlawan 2019 yang disambut bulan ini.
Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun namun tarikh penganjuran majlis itu pada tahun ini diubah daripada tarikh perisytiharan asal bagi memberi laluan dan mengelakkan pertindihan dengan beberapa acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai lepas.
Khutbah bertajuk ‘Pahlawan: Pengorbanan Yang Tiada Galang Ganti’ turut mengingatkan generasi muda untuk menyelami dan mengambil iktibar keberanian dan semangat keperwiraan yang ditunjukkan golongan perajurit yang sentiasa di barisan hadapan mempertahankan negara pada satu masa dahulu.
Ini kerana berjihad dan berkorban jiwa untuk mempertahankan negara adalah sifat mulia yang disanjung tinggi, selain Islam meletakkan kedudukan mereka yang berjuang semata-mata kerana Allah diberi ganjaran dan kedudukan yang tinggi.
“Islam mengiktiraf para pahlawan tanah air ini sebagai mujahid agama, bangsa dan negara. Oleh itu para pahlawan hendaklah meletakkan setiap langkah dan geraklaku dalam perjuangan mereka sebagai amalan ikhlas dan penuh tanggungjawab agar mendapat penghormatan di dunia dan anugerah besar daripada Allah pada hari akhirat kelak.
“Segala perjuangan para pahlawan yang terdiri daripada pasukan keselamatan iaitu tentera dan polis yang mempertahankan negara adalah satu tugas yang sangat mulia, kerana perjuangan mereka dipenuhi pelbagai dugaan,” katanya.
Mengenai keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini, Ghazali menyarankan orang ramai mengurangkan aktiviti fizikal di luar, menggunakan penutup hidung dan mulut dan mengurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok bagi mengelakkan keadaan semakin buruk.
Khutbah itu turut menyarankan kepada semua jawatankuasa kariah masjid dan surau mengadakan solat sunat istisqa, bagi mengharapkan Allah menurunkan hujan dan menghilangkan jerebu ketika ini.
BERNAMA