Perodua Axia diberi wajah baru, kini diberi nama kod D74A.. Apa yang menarik?. Setelah lapan tahun berada di pasaran, kereta Perodua paling murah iaitu Perodua Axia tidak lama lagi akan digantikan dengan model generasi baru.
Diberi kod nama D74A, rakan kami di Funtasticko memberitahu usaha pembangunan hatchback baru Perodua ini kini sedang berjalan.
Maklumat tentang Axia generasi baru setakat ini
Sebagai permulaan, besar kemungkinannya Axia serba baru ini akan dibina berdasarkan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) – sama seperti Perodua Ativa dan juga Perodua Alza baru yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Selain dari itu, ada juga kemungkinannya yang Axia serba baru nanti akan menggugurkan kotak gear automatik 4 kelajuan dan akan digantikan dengan Dual-mode CVT (D-CVT) yang lebih baru dan canggih. Transmisi sama digunakan dalam Myvi baru-baru ini.
Masih belum dapat dipastikan jenis enjin yang akan menggerakkan hatchback segmen A Perodua ini.

Tambahan pula, memandangkan model sekarang sudah dilengkapi dengan AEB Advanced Safety Assist (ASA), barangkali model serba baru ini nanti akan mula ditambah dengan bermacam jenis kelengkapan lagi.
Bilakah pelancaran Perodua Axia generasi baru?

Menurut sumber, Perodua Axia serba baru dikatakan akan masuk barisan produksi dalam tahun ini dan akan dilancarkan pada suku pertama 2023.
Axia serba baru mungkin akan diperkenalkan dahulu sebelum saudara Indonesianya, Daihatsu Ayla dan Toyota Agya.