Perintah sekatan 5 hari hanya kerana satu kes Covid-19 di Perth

Perth melaksanakan perintah sekatan selama lima hari selepas pengawal keselamatan di sebuah hotel kuarantin disahkan positif virus COVID-19.

Secara anggaran, kira-kira dua juta penduduk di Perth perlu berada di rumah bermula petang tadi dan begitu juga mereka yang tinggal di Peel dan wilayah barat daya Australia.

Sesi persekolahan yang sepatutnya bermula esok ditangguhkan dan penduduk hanya dibenarkan keluar untuk bersenam, keperluan kesihatan, perkhidmatan perlu serta untuk membeli makanan.

Perdana Menteri Australia Barat, Mark McGowan, berkata model mereka untuk berhadapan dengan kes COVID-19 adalah dengan cepat dan tegas.

“Ia supaya kami boleh mengawalnya dengan cepat dan tidak menular masuk ke dalam komuniti seperti mana dihadapi negara lain.

“Apa yang kami cuba lakukan adalah ‘gangguan’ jangka masa pendek bagi mengelakkan ‘gangguan’ jangka masa panjang.

“Kami berusaha menghancurkan virus ini secepat mungkin,” katanya.

Pihak berkuasa percaya lelaki itu dijangkiti virus daripada pengembara yang dikuarantin di sebuah hotel di bandar keempat terbesar di Australia itu.

Pengembara itu mungkin terkena varian baharu virus itu yang dipercayai boleh menular dengan cepat berbanding strain COVID-19 sebelum ini. –BH

COMMENTS

Wordpress (0)