Perbaharui lesen Lynas diketahui selewatnya 15 Ogos – YB Yeo

Kerajaan akan mengumumkan status berhubung isu memperbaharui lesen operasi kilang pengeluaran nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd, selewat-lewatnya 15 Ogos ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata kerajaan juga akan mengumumkan keputusan sama ada pembuangan sisa radioaktif daripada loji pemprosesan Lynas perlu dihantar ke negara asal Australia, atau sebaliknya.

“Lynas hanya boleh buat pembaharuan lesen dalam tempoh 30 hari iaitu sebelum tamat lesen mereka iaitu pada 2 Sept hadapan.

“Lynas sudah membuat permohonan untuk memperbaharui lesen pada 2 Ogos, iaitu semalam jadi permohonan masih diproses, kita akan keluarkan kenyataan rasmi secara terperinci kepada semua selewat-lewatnya 15 Ogos,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Sains Negara peringkat Selangor di Perpustakaan Awam Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna Hee Loy Sian.

Mengulas lanjut, Yeo berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan beberapa ahli Parlimen bagi membincangkan operasi kilang Lynas, Selasa akan datang.

Ia berikutan ada beberapa ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan operasi kilang Lynas termasuk pembuangan sisa radioaktif daripada loji syarikat itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung tindakan Gabungan Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas yang membantah operasi kilang Lynas, Yeo berkata, setiap rakyat di negara ini mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan.

“Saya rasa kerajaan sudah ambil pandangan semua pihak yang menyuarakan kebimbangan tentang isu alam sekitar dan keselamatan rakyat, tapi beberapa orang ada pandangan yang berbeza.

“Apa saya boleh katakan ialah, keputusan yang dicapai bukan yang paling ideal, bagi sayalah. Tetapi ia lebih baik daripada status quo,” katanya.

Mei lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan membenarkan Lynas untuk terus beroperasi di negara ini.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berpendirian bahawa sisa kilang Lynas di Gebeng, Kuantan perlu dihantar ke Australia untuk dilupuskan di lombong di sana jika Lynas dibenar meneruskan operasinya di negara ini.

BERNAMA