Perangi fitnah, kerana pemfitnah tidak akan masuk syurga

Umat Islam di negara ini diajak untuk memerangi fitnah yang kini bermaharajalela dalam masyarakat yang disebarkan melalui media sosial.

Ajakan ini dibuat oleh para khatib yang memberikan khutbah Jumaat di segenap masjid di Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Amalan menyebar fitnah sudah menjadi budaya masyarakat kita hari ini. Ramai yang turut terlibat seolah-olah mereka seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu.

“Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa besar sesame manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan oleh Allah melainkan setelah orang yang difitnah itu memberi kemaafan terhadap perbuatan itu,” kata khutbah yang disedia oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan dibacakan oleh semua khatib hari ini.

Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya kita tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi setiap muslim memperhalusi berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah fitnah.

Menurut khutbah itu, golongan yang memfitnah tidak akan masuk syurga sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RH daripada Huzaifah RA, sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud : “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”

Sejarah Islam, katanya, telah mencatatkan bagaimana fitnah menjadi punca kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di madinah, saidina Uthman bin ‘Affan RA.

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesame muslim ketika zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib RA.

Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umayyah malah sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka juga berpunca daripada
fitnah.

Bahaya menyebarkan fitnah umpama api membakar ranting kering, ia cepat merebak dan akan menjadi abu. Ia meyebabkan ganjaran amalan baik terhapus dan akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan “dengar khabar” mengenai berita yang disebarkan, katanya.

“Bagaimanapun apabila berita itu tersebar dari seorang ke seseorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seolah-olah ianya berita benar.

“Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh diterima terus sekiranya pembawa berita itu diragui keperibadiannya. Setiap berita yang diterima perlulah diselidiki inikan pula menyebarkan berita yang tidak benar,” katanya.

Mimbar juga, katanya,  mengambil kesempatan mengajak sidang Jemaah sekalian untuk sama-sama menyahut saranan melalui titah Raja-Raja Melayu dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja yang Ke-254 dalam memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Negara ini dapat dikekalkan.

“Semua rakyat digesa supaya menghentikan segera segala budaya fitnah-memfitnah yang keji ini agar ianya tidak terus menghantui kehidupan masyarakat di Negara ini,” kata khutbah itu.

Berita ASAl https://malaysiadateline.com/perangi-fitnah-kerana-pemfitnah-tidak-akan-masuk-syurga/