Perang perdagangan, manfaat bercampur-campur untuk Malaysia

images (10).jpg

Langkah Amerika Syarikat (AS) untuk menangguhkan tarif dilihat memberi harapan yang melegakan ke atas ekonomi global, namun tindakan China untuk mengenakan tarif balas yang baharu ke atas barangan AS dan menyambung semula duti ke atas barangan auto AS bernilai US$75 bilion (AS$1=RM4.19), mengejutkan para pelabur dan pasaran di seluruh dunia.

Sekali lagi, ia memaksa kerajaan-kerajaan untuk memikirkan semula dan mengalihkan strategi perdagangan dan pelaburan mereka terhadap apa yang dilihat sebagai perang perdagangan yang akan berlarutan, yang akan memberi implikasi negatif jangka panjang.

Walaupun banyak negara menjangkakan situsai itu memberi impak yang buruk ke atas ekonomi masing-masing, namun bagi Malaysia – kesannya bercampur-campur, dengan kedudukan positif sekurang-kurangnya untuk tempoh jangka pendek.

Ahli ekonomi menyatakan strategi yang jelas adalah untuk Malaysia meletakkan kedudukannya sebagai alternatif untuk memikat syarikat-syarikat multinasional Amerika dan China yang ingin berpindah untuk mengelakkan kos yang semakin meningkat daripada pengenaan tarif tersebut.

Ini memandangkan pelabur Amerika dan China serius mempertimbang untuk memindahkan operasi masing-masing ke negara ketiga, menyasarkan Malaysia dalam proses dalam apa yang kelihatan sebagai destinasi penempatan yang ketara berdasarkan kosnya yang rendah.

Malaysia juga digesa untuk meneroka pasaran lain dan mempelbagaikan rantaian bekalannya untuk memasukkan pasaran selain Amerika dan China, dan tidak semata-mata bergantung kepada pembuatan, sebaliknya mempelbagaikan dan menceburi sektor lain secara lebih mendalam, terutama perkhidmatan yang meliputi pelancongan dan pendidikan, untuk menjana lebih besar pendapatan untuk ekonomi.

Dengan China masih menjadi rakan dagang Malaysia, pembuat dasar harus berusaha untuk meningkatkan perdagangan, terutama meningkatkan eksport ke China, kata mereka.

Mereka juga mahu tindakan diambil untuk melakukan inovasi dan mengguna pakai kemajuan teknologi dengan mempercepat agenda ekonomi digital Malaysia, analisis data raya, kecerdasan buatan dan Objek Rangkaian Internet (IoT).

“Perang perdagangan antara dua ekonomi besar itu boleh menjadi baik dan buruk (berita). Berita baiknya ialah Malaysia kini menjadi alternatif kepada pelabur AS dan China untuk memindahkan perniagaan mereka ke sini, berikutan kos yang lebih rendah untuk menjalankan perniagaan,” kata Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Beliau berkata sebagai contoh, Selangor adalah antara penerima manfaat perang perdagangan dengan banyak firma dari Amerika Syarikat dan China memindahkan atau mengembangkan perniagaan mereka ke Selangor.

Pandangan positif Mohd Afzanizam telah disahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang mengumumkan beberapa syarikat perkilangan berskala besar telah datang dan memohon insentif tertentu dan (merancang) untuk membuka operasi mereka di Selangor.

Bagi enam bulan pertama 2019, Selangor merekodkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM5.9 bilion dalam sektor perkilangan, 90.3 peratus lebih tinggi daripada RM3.1 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Daripada RM5.9 bilion itu, 64 peratus atau RM3.8 bilion daripada pelaburan yang diluluskan adalah dalam sektor perkilangan.

Mohd Afzanizam berkata walaupun penempatan semula perniagaan berlaku, kedudukan itu masih rapuh, dengan penyelesaian perang perdagangan dijangkakan mengambil masa.

“Pengumuman AS baru-baru ini mengenai tarif produk sedia ada ke atas China, menunjukkan konflik perdagangan pasti akan berlarutan. Kos operasi perniagaan akan meningkat selari penyusutan yuan, yang menunjukkan prestasi mata wang negara-negara pesat membangun juga bergerak ke arah yang sama.

“Oleh itu, kos bahan mentah yang diimport juga akan meningkat. Secara ringkasnya, perang perdagangan tidak baik untuk ekonomi global kerana perniagaan sangat berintegrasikan rantaian nilai global, dan sebarang gangguan dalam perdagangan antarabangsa, akan memberi kesan yang meruncing dalam keseluruhan industri,” katanya.

Ini jelas daripada data Jabatan Perangkaan yang melaporkan penurunan eksport sebanyak 3.1 peratus kepada RM76.2 bilion pada Jun 2019 berbanding setahun lepas berikutan penurunan jualan barangan elektrik dan elektronik, selain produk kayu.

Menyentuh sentimen yang sama, Pengasas dan Ketua Pegawai Pelaburan Singular Asset Management Sdn Bhd, Teoh Kok Lin berkata Malaysia, sebagai negara perdagangan utama, pasti akan terjejas oleh pertikaian perdagangan yang semakin meningkat antara dua gergasi ekonomi itu kerana ia bergantung kepada faktor global.

“Namun sekiranya ketegangan perdagangan menjadi terlalu sengit dan dapat meredakan ekonomi global, kita perlu memikirkan rantaian bekalan yang lain dan tidak semata-mata bergantung kepada AS dan China sebagai pangkalan bekalan kita,” katanya

Untuk itu, Teoh menggesa komuniti perniagaan meluaskan perniagaan daripada sektor perkilangan kepada sektor lain seperti pelancongan dan pendidikan sebagai penjana utama pendapatan ekonomi.

“Pelancongan merupakan sektor besar dengan pelancongan yang melawat Malaysia kerap datang berulang ke sini dan tinggal bersama keluarga atau rakan, dan mereka sukakan makanan tempatan dan masyarakat pelbagai budaya. Saya percaya kita mampu dan dan boleh menarik lebih ramai pelancongan untuk datang ke Malaysia, terutama sempena Tahun Melawat Malaysia, tahun depan.

“Bagi sektor pendidikan, Malaysia mempunyai banyak universiti dan sekolah swasta yang baik dan kita boleh menarik warga asing untuk datang dan belajar di sini. Apabila mereka belajar di sini, mereka akan membawa keluarganya bersama-sama yang boleh meningkatkan perbelanjaan tempatan. ”

Beliau berkata Malaysia mempunyai hubungan baik dengan China sejak 45 tahun lepas, dan perlu melibatkan lebih banyak negara dengan membawa lebih banyak pelaburan langsung asing, pelawat China dan juga pelajar.

Hubungan yang lama itu juga menyaksikan kedua-dua negara menyambung semula kerja projek Landasan Kereta Api Pantai Timur, selepas beberapa masalah, katanya.

“Secara menyeluruh, saya percaya Malaysia mampu menarik lebih banyak pelabur yang akan menjadikan negara ini sebagai destinasi perniagaan mereka. Banyak perniagaan pembuatan masih menganggap Malaysia sebagai rumah mereka dan mencintai alam sekitar,” katanya.

Ditanya mengenai Bajet 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober, Teoh berkata berdasarkan harga minyak mentah yang lebih rendah, yang didagangkan kurang dari US$60 setong, selain pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, kerajaan berkemungkinan akan mengurangkan perbelanjaannya tahun depan.

“Perkara utama ialah bagaimana anda menumpukan perbelanjaan dalam bidang yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi, yang boleh menghasilkan lebih banyak dengan segera, bagi mengekalkan pai ekonomi.

“Sudah jelas bahawa kuncinya adalah untuk menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik bagi menghasilkan kesan pengganda. Pelaburan domestik akan mewujudkan pekerjaan dan aktiviti ekonomi dalam negarai,” katanya.

Satu lagi bidang penting bagi kerajaan adalah untuk memberi tumpuan dalam usaha untuk meningkatkan agenda ekonomi digital, analisis data raya, kecerdasan buatan dan IoT, katanya.

BERNAMA