Perang lawan Covid-19 di Lembah Klang mula tunjuk sinar kejayaan. Peperangan menentang COVID-19 di Lembah Klang mula menunjukkan sinar kemenangan sejak beberapa minggu lalu apabila jumlah kemasukan pesakit baharu mencatatkan penurunan.
Berkongsi berita gembira itu, pakar anestesiologi dan rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Noorulhana Sukarnakadi Hadzarami, berkata jumlah pesakit warga emas mula mencatat penurunan sejak bulan lalu.
Katanya, jumlah kemasukan pesakit tempatan di hospital Lembah Klang pula mula mencatat penurunan bermula minggu lalu, dengan kebanyakan pesakit baharu ketika ini adalah dalam kalangan warga asing.
Meskipun jumlah kes harian di Lembah Klang masih tinggi dan kemenangan masih samar, Dr Noorulhana Sukarnakadi menyifatkan penurunan kes itu sebagai titik cahaya di hujung terowong yang memberi harapan bahawa kejayaan mengawal pandemik itu semakin hampir.
“Rujukan daripada dari ED (Jabatan Kecemasan) kepada pasukan ICU (unit rawatan rapi) untuk pesakit COVID-19 kritikal semakin berkurang.
“Kalau dulu, panjang senarai menunggu di papan tulis ICU dengan kertas bersambung-sambung sebab tak cukup ruang. Sekarang dah nampak sedikit ruang.
“Kalau dulu, mayat berbungkus berselang-seli dengan katil pesakit hidup dan kanvas memenuhi segenap ruang dan laluan di ED. Sekarang dah nampak lantai.
“Jumlah pesakit kategori ringan mungkin masih ramai tetapi mereka cuma perlukan pemantauan dan rawatan di wad saja. Masih ada rujukan pesakit COVID-19 kritikal ke ICU dalam kalangan warganegara, namun terdiri daripada mereka yang tolak vaksinasi,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.
Penurunan kemasukan pesakit ke hospital itu sejajar peningkatan kadar pemberian vaksin COVID-19 di Lembah Klang, hasil pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti antara 26 Julai hingga 1 Ogos lalu.
Setakat semalam, lebih 6.39 juta atau 103.7 peratus populasi dewasa berusia 18 tahun di Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, selain 3.86 juta atau 62.6 peratus lengkap divaksin.
Jumlah penerima vaksin Lembah Klang melebihi 100 peratus kerana statistik sedia ada belum mengambil kira perubahan populasi selepas bancian terakhir, penduduk tanpa dokumen serta vaksinasi yang diberi kepada penduduk tanpa dokumen dan golongan bukan pemastautin.
Dr Noorulhana Sukarnakadi turut memaklumkan berita gembira mengenai kesan inokulasi, apabila pesakit COVID-19 yang pernah divaksin sembuh lebih cepat berbanding yang tidak divaksin.
Katanya, empat pesakit yang menerima vaksin hanya memerlukan bantuan pernafasan selama tiga hingga empat hari, berbanding dua hingga tiga minggu bagi pesakit yang tidak sempat menerima vaksin.
“Mereka pulih dengan X-ray dada yang bersih berbanding dengan majoriti yang rabak paru-parunya (bagi yang belum terima vaksin), belum masuk yang sudah meninggal dunia.
“Tak sabar nak jadi macam Sarawak. Di sana pesakit COVID-19 kritikal di ICU hanya tiga orang, sejajar dengan kelajuan dan keluasan kadar vaksinasi mereka,” katanya.
Di sebalik berita positif itu, Dr Noorulhana Sukarnakadi tetap mengingatkan bahawa jumlah pesakit di ICU masih ramai hasil kemasukan sejak sebulan lalu, di samping jumlah pesakit meninggal dunia di rumah (BID) yang masih tinggi.
“Kita belum lagi menang. Kita berusaha dan bertawakal. Insya-Allah, vaksin berkesan,” katanya.
Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/851267/perang-covid-19-di-lembah-klang-mula-tunjuk-sinar