Penumpang dari India yang dikuarantin di hotel dakwa dilayan secara kasar oleh ‘petugas kesihatan’

Penumpang dari India yang dikuarantin di hotel dakwa dilayan secara kasar oleh ‘petugas kesihatan’

Rakyat Malaysia yang pulang dari India dan menjalani kuarantin Covid-19 di Hotel Istana sejak 13 Mei lalu mendakwa mereka diganggu pegawai kerajaan pada malam Jumaat.

Difahamkan, mereka dikuarantin di hotel itu setibanya dari India melalui pesawat sewa khas Malindo pada 13 Mei lalu.

“Kami diberitahu kami perlu menjalani kuarantin 14 hari apabila kami berlepas, tetapi ia berubah selepas tiba. Mereka kata individu datang dari India perlu dikuarantin selama 21 hari,” kata ahli perniagaan, Dhana Balan yang dikuarantin di hotel itu kepada FMT.

Beliau berkata, sepucuk surat dihantar kepada Kementerian Kesihatan yang memohon mereka dibenarkan menjalani kuarantin kendiri di rumah untuk tambahan tujuh hari itu, tetapi ia ditolak.

Selepas 14 hari, pada malam Jumaat, katanya, beberapa tetamu dikejutkan secara kasar oleh pegawai kerajaan memakai PPE yang menuntut mereka membayar kos untuk tambahan tujuh hari di hotel, walaupun mereka sudah diberitahu hanya perlu membayar ketika mendaftar keluar.

“Mereka menyerbu bilik dalam gaun perubatan dan tiada tanda nama. Kami tidak tahu siapa mereka. Seorang daripadanya kata mereka bersama KKM, tetapi mereka tidak memperkenalkan diri.”

Dhana berkata, tetamu yang berdepan dakwaan gangguan itu diberitahu jika mereka tidak membuat bayaran diperlukan itu, mereka akan segera dihantar ke sebuah kemudahan kuarantin kerajaan.

Katanya, pegawai terbabit memasuki bilik sesetengah tetamu dan melempar barang mereka ke luar bilik.

K Kaarthik, yang turut dikuarantin, diugut dengan tindakan polis apabila beliau enggan meninggalkan hotel itu.

Menurut satu laporan berita, tetamu lain turut menghadapi gangguan sama, dengan ada yang diugut dengan tindakan polis.

Pengurus khidmat tetamu Hotel Istana, Karen Subramaniam memberitahu FMT, mereka terpaksa merujuk perkara itu kepada KKM, apabila sesetengah tetamu itu tidak dapat membayar kos tambahan tujuh hari itu.

“Ada yang berkata mereka berhak mendapat kadar harga untuk B40, manakala yang lain menyatakan mereka tidak mampu membayar jumlah itu. Jumlah tambahan itu kira-kira RM1,000. Jadi, tanggungjawab kami ialah menghantar mereka ke pusat kuarantin kerajaan dalam keadaan ini.”

Karen berkata, apabila pegawai kementerian tiba, mereka yang ke bilik tetamu kerana mereka memakai PPE dan kakitangan hotel tidak tahu apa yang berlaku dalam bilik.

“Kami dilatih untuk bersikap sopan apabila berdepan tetamu. Apa yang berlaku di atas seperti yang didakwa itu di luar kawalan kami.”

Katanya, semua tetamu akhirnya berjaya mengumpul dana dengan bantuan rakan dan saudara mereka untuk melangsaikan bayaran itu.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago membidas pegawai yang melayan mereka dengan cara kasar sedangkan ia adalah salah pihak berkuasa untuk kuarantin tambahan tujuh hari.

“Pasukan yang melakukan penerbangan itu memberitahu mereka di India yang kuarantin selama 14 hari. Tetapi, ia berubah kepada 21 hari selepas ketibaan mereka dan mereka ini tidak membuat persediaan.

“Hotel dan kementerian itu perlu memohon maaf kepada tetamu ini yang masih berada di sana.”

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/30/pegawai-kesihatan-halau-kami-keluar-dari-bilik-kata-tetamu-di-hotel-kuarantin/