Pensyarah UUM sanggah dakwaan Mahathir, anggap tak relevan lagi PRU15

Dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak dapat menarik sokongan Melayu tanpa beliau, tidak lagi relevan dalam senario politik semasa, kata penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia itu berkata Mahathir seharusnya tidak mengungkit kenyataan itu lagi dalam menilai peluang PH memenangi pilihan raya umum ke-15, kerana keadaan sudah jauh berubah.

“Isu dalam PRU-15 sangat berbeza daripada isu dalam PRU-14 kerana waktu itu isunya adalah untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) yang didakwa terpalit dengan rasuah besar.

“Setelah orang Melayu melihat sendiri bagaimana PH bawah pimpinan Mahathir gagal mengawal DAP selama 22 bulan, agak sukar mereka menyokong gabungan PH dan Mahathir lagi,” katanya kepada FMT.

Mahathir dipetik berkata PH tidak dapat menarik sokongan Melayu jika blok pembangkang terbesar itu tidak bekerjasama dengannya dan merujuk kepada keputusan PRU 14 sebagai bukti.

Bekas perdana menteri itu berkata hanya pembabitan beliau dan partinya ketika itu, PPBM, membolehkan PH menjatuhkan BN dan menawan Putrajaya serta beberapa negeri, termasuk Johor yang menjadi kubu kuat UMNO.

Kamarul berkata dengan hanya 4 Ahli Parlimen dalam Pejuang, yang dipimpinnya, Mahathir tidak menawarkan kelebihan nyata kepada PH, jika kerjasama antara dua pihak itu menjadi realiti.

Menurutnya, PH juga terpaksa menimbang sama ada kerjasama dengan Mahathir mungkin menyebabkan pengundi bukan Melayu yang menolak Ahli Parlimen Langkawi itu, mengabaikan PH pada PRU-15.

Seorang lagi penganalisis politik, Awang Azman Awang Pawi, dari Universiti Malaya (UM) berkata, Mahathir sendiri menghadapi defisit kepercayaan dalam kalangan pengundi Melayu, berdasarkan rekodnya sebagai perdana menteri yang menerajui PH.

“Orang Melayu hilang sokongan dan kepercayaan terhadap Mahathir kerana melihat tidak banyak berubah dalam negara. Beliau juga memperlekeh pengundi apabila mengatakan manifesto PH yang ditawarkan kepada rakyat pada PRU-14, bukan kitab suci.

“Ini menyebabkan orang Melayu sukar kembali menaruh kepercayaan terhadap beliau,” katanya.

Awang berkata populariti Mahathir dalam kalangan orang Melayu makin pudar. Ini terbukti apabila pengundi Melayu dan kaum Bumiputera di Sabah menolak kerajaan negeri pimpinan Shafie Apdal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, walaupun presiden Warisan itu disokong Mahathir.

Di Semenanjung, Awang berkata petunjuk paling jelas ialah pilihan raya kecil DUN Slim River Ogos lalu yang menyaksikan calon tajaan Pejuang tewas teruk kepada UMNO yang mempertahankan kerusi itu dengan majoriti lima kali ganda berbanding PRU-14.

Hampir 75% pengundi Slim River adalah kaum Melayu.

Bekas ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan, turut menegaskan tarikan pengundi Melayu terhadap Mahathir pada PRU-14 sudah amat berkurangan.

“Selama 22 bulan era kerajaan PH, orang Melayu rasa dipinggir walaupun perdana menteri adalah Mahathir.

“Malah perbalahan terbuka beliau dengan Anwar Ibrahim membuatkan orang Melayu rasa tertipu,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/31/dr-m-sendiri-sudah-hilang-sokong-melayu-kata-penganalisis/