Penjelasan isu saham oleh Azam Baki disambut baik oleh PAS

Penjelasan isu saham oleh Azam Baki, PAS menyambut baik langkah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang secara terbuka memberikan penjelasan tentang tuduhan beberapa pihak termasuk agensi media dan portal bebas terhadapnya berkaitan dakwaan isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah tersebut amat tepat kerana ia berkaitan dengan integriti SPRM sebagai sebuah badan penguatkuasa pencegahan rasuah yang utama di negara ini.

Penjelasan isu saham oleh Azam Baki disambut baik oleh PAS

Menurutnya, kenyataan terbuka Ketua Pesuruhjaya SPRM tersebut yang berupa penafian terhadap tuduhan berkenaan diharap dapat menghentikan tindakan beberapa pihak yang kelihatan sengaja membangkitkan isu seumpamanya bagi menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat sekali gus untuk menggugat kestabilan negara di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

“Dengan ini juga, beban pembuktian terletak ke atas pihak yang masih terus membuat dakwaan yang serupa bagi membuktikan segala tuduhan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan berasas, sekiranya tidak ia adalah sekadar tuduhan melulu,” ujarnya dalam satu kenyataan media, semalam.

Beliau menegaskan, PAS yakin pihak berkuasa akan meneliti kenyataan tersebut dan menilai serta seterusnya mengambil tindakan yang adil kepada semua pihak berdasarkan fakta dan undang-undang.

Rabu lalu, Azam menafikan tuduhan segelintir pihak yang mendakwa dirinya mempunyai kepentingan dalam skandal pembelian saham yang dikaitkan dengannya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa mencemar imejnya.

Menurutnya, beliau telah menjelaskan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya untuk membuat urus niaga beliau dan tiada kepentingan atau mendapat faedah ke atas saham yang dibeli itu.

Azam juga menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mengawal ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular, sejak akhir-akhir ini.

Katanya, ia satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka cipta untuk menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

Ssusulan itu, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Azam berhubung skandal pembelian saham yang dikaitkan dengannya.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, setelah perbincangan bersama Ahli LPPR, mereka berpendapat Azam tiada sebarang kepentingan pecuniary (kewangan) atau benefisial ke atas saham berkenaan.

Baca Juga : ‘Just wait’…. Saman akan dibuat ke atas orang itu – Azam Baki
Rehatkan Azam Baki : Menteri akan bincang dengan Perdana Menteri

Artikel ini disiarkan pada 07/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)