Peniaga kedai pakaian keliru boleh buka ke tak?

Peniaga

Peniaga kedai pakaian keliru boleh buka ke tak. Peniaga pakaian di sini keliru dengan kebenaran beroperasi yang diumumkan kerajaan bagi sektor perdagangan dan pengedaran di bawah fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mereka ragu-ragu sama ada perniagaan pakaian boleh beroperasi atau sebaliknya kerana mereka diberitahu kebenaran itu hanya untuk negeri-negeri yang sudah melaksanakan vaksinasi yang mencapai 50 peratus kepada penduduk dan peniaga juga perlu lengkap vaksin.

Pemilik kedai pakaian, Mohd. Nafifi Md. Noor, 32, berkata, dia keliru dengan perkara itu, namun, tetap membuka perniagaannya.

MOHD. Nafifi Md. Noor (kanan) dan isterinya, Norshuhada Radi menunjukkan sijil digital vaksin Covid-19 di premis menjual pakaian mereka di Taman Prima, Bagan Serai semalam. –

“Pagi ini, saya membuat tinjauan di bandar Bagan Serai dan mendapati beberapa kedai pakaian membuka perniagaan mereka, jadi saya pun ambil keputusan buka kedai hari ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Prima di sini semalam.

Menurutnya, dia tidak tahu jika kerajaan ada membuat penjelasan mengenai kekeliruan itu dan sekiranya kedai pakaian tidak dibenarkan dibuka, dia akan akur.

“Saya harap kerajaan negeri memberikan penjelasan tentang perkara ini sebab saya benar-benar tidak tahu dan keliru sama ada boleh berniaga atau tidak.

Peniaga

“Saya khuatir jika tindakan membuka perniagaan pakaian ini menjadi satu kesalahan, saya tidak mahu disaman atas perkara yang saya tidak ketahui kesahihannya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Bagan Serai mendapati terdapat lebih dari sepuluh buah kedai yang menjual pakaian dan aksesori mula beroperasi semalam.

Ini berikutan pengumuman kerajaan 11 sektor perdagangan dibenarkan beroperasi di negeri fasa 1 dan fasa 2 antaranya ialah kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barang rumah dan peralatan dapur, kedai perabot dan kedai peralatan sukan.

Selain itu, turut dibenarkan beroperasi ialah kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

Sementara itu kebenaran beroperasi bagi kedai perabot, permaidani dan pakaian bermula semalam memberi kelegaan kepada peniaga yang terlibat.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan yang terkenal dengan jualan perabot, karpet dan pakaian, Seri Iskandar Wholesale City (SWC) di sini mendapati kebanyakan premis jualan perabot dan karpet sibuk membersihkan kedai masing-masing untuk memulakan perniagaan.

Namun, beberapa kedai pakaian yang terdapat di kawasan berkenaan masih belum memulakan perniagaan mereka.

Seorang pekerja premis menjual karpet dan perabot yang mahu dikenali sebagai Ahmed berkata, dia menerima arahan daripada majikannya supaya membuka perniagaan selepas kerajaan memberikan kebenaran beroperasi.

Katanya, dia dimaklumkan mereka sudah boleh berniaga selepas beberapa bulan ditutup yang menyebabkan mereka tidak mempunyai sebarang pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Jun lalu.

“Saya bersyukur sudah boleh bekerja semula. Kedai sudah boleh buka hari ini selepas lama ditutup dan sepanjang tempoh itu, kami duduk di rumah sahaja.

“Saya dan kawan membuka kedai pagi tadi dan kemas kedai, menyapu dalam dan luar kedai dan menunggu pelanggan datang,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati terdapat beberapa pelanggan mula pengunjung premis jualan perabot dan permaidani.

Seorang pelanggan, Noraini Osman, 51, berkata, dia tidak tahu kedai perabot sudah boleh beroperasi dan hanya menyedari perkara itu ketika melalui kedai berkenaan.

“Saya sudah lama nak beli kabinet dapur tapi terpaksa tangguh dahulu sebab kedai perabot masih tutup.

“Hari ini ketika melalui kedai di sini, saya terkejut tengok kerana ia sudah dibuka, jadi saya terus singgah,” katanya.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/08/peniaga-masih-keliru-sop/

BACA: Mesyuarat Raja-Raja Melayu dilapor jumaat ini tentukan PM ke-9