Sempena projek River Of Life yang menjadikan Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR) sebagai kawasan pejalan kaki, Pasar Malam dan Bazaar Ramadhan yang dijalankan dikawasan itu akan dipindahkan ke lokasi baharu kata Kementerian Wilayah Persekutuan.
Menterinya, Khalid Abdul Samad dalam ucapan berkata, usaha membersihkan Jalan TAR, para penjaja yang berniaga di kawasan terlibat akan dipindah ke kawasan lain di sekitar jalan tersebut.
“Bazar ramadhan ini akan dipindahkan ke tempat yang lebih baik dan isu sekarang bukan tentang lokasinya tetapi soal bagaimana peniaga-peniaga ini mendapat lot.
“Sebelum ini semua urusan tapak diuruskan oleh persatuan-persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Walaubagaimanapun, kami ingin mengelakkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menyewakan tapak dengan harga yang lebih mahal kepada peniaga.
“Kami beri amaran tegas bahawa kami tidak membenarkan pihak yang melakukan sewa atas sewa,” katanya dalam sidang medianya di Parlimen hari ini.
Mohon atas talian
Beliau juga menegaskan, supaya peniaga membuat permohonan secara atas talian untuk memiliki tapak perniagaan kerana mudah didapati dengan kadar harga yang murah.
“Tetapi kalau kami dapati mereka pula yang menyewakan lot yang dipohon itu kepada orang lain, maka geran mereka akan ditarik dan kita akan beri pada pihak yang lain.
Sehingga kini, sebanyak 2000 permohonan tapak niaga bazar ramadhan telah diterima pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Khalid berkata pihak persatuan yang ingin ahli mereka diberikan tapak bazaar, mereka boleh menulis secara rasmi memohon supaya ahli mereka yang selama ini secara tradisinya telah menyewa dan berniaga untuk diberikan pertimbangan.
“Kami merasakan ini lah masanya.. oleh kerana lorong TAR sudah tidak mampu menampung jumlah peniaga, penjaja dan pengunjung yang ramai, jadi kami memerlukan lokasi yang besar tetapi berdekatan dengan tempat yang asal.
“Ini adalah satu usaha kami menangani kesesakan di jalan TAR. Kami nak buat yang terbaik. Jadi kami berharap pihak pihak persatuan juga mengambil kira hasrat ini untuk menjadikannya lebih baik,” katanya.
Beliau juga menegaskan pihaknya tidak pernah mengkambing hitamkan sesiapa dan apa yang berlaku adalah tanggungjawab mereka untuk membawa keadaan yang lebih baik.
“kita cuma merasakan amalan dahulu yang menyerahkan berpuluh-puluh lot kepada persatuan adalah tidak berapa adil kerana kami inginkan ia dilakukan secara terbuka,” katanya.
Berita asal: https://malaysiadateline.com/peniaga-bazaar-jalan-tar-akan-diberi-tapak-baharu-kata-khalid/#more