Pengusaha kedai makan dakwa keadaan lebih buruk dari PKP 1.0, ini puncanya

Pengusaha kedai makan dakwa keadaan lebih buruk dari PKP 1.0, ini puncanya

Larangan makan di restoran di Kuala Lumpur dan enam daerah di Selangor selain seluruh negara bermula esok, dan keadaan bertambah buruk apabila bilangan penghantar e-hailing menurun untuk tujuan penghantaran.

Beberapa pengusaha kedai makan yang ditemui FMT berkata kekurangan penghantar makanan menjejaskan pendapatan mereka, menjadikan keadaan sekarang jauh lebih buruk berbanding ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

Keadaan bertambah teruk lagi apabila keadaan cuaca yang tidak menentu, terutama pada waktu malam, menyukarkan penghantaran dibuat ketika waktu puncak.

Pengasas The Fire Grill, Shankar Santhiram berkata, restorannya berdepan kekurangan penghantar makanan walaupun bekerjasama dengan tiga platform penghantaran makanan yang berbeza, membuatkan pelanggan terpaksa menunggu hingga satu jam, yang turut menghalang pelanggan lain daripada membuat pesanan.

Katanya, ia bukan kesalahan penghantar atau syarikat penghantaran dan mengakui kekurangan penghantar makanan tidak dapat dielakkan, terutama pada musim hujan.

Bagaimanapun, beliau berkata industri makanan dan minuman memerlukan Putrajaya untuk menunjukkan kepimpinan dan membantu, terutama sektor itu yang menyumbang banyak pendapatan kepada negara selain melibatkan ramai pekerja di setiap restoran.

“Setiap kali larangan makan di restoran dikenakan, kami kehilangan sekitar 80% hingga 90% daripada pendapatan kami, jadi kita hanya bertahan pada 10% hingga 20% dan lebih bergantung pada pengambilan sendiri oleh pelanggan berbanding penghantaran.

“Tetapi sekarang wujud masalah kerana sebilangan pelanggan tidak dapat merentasi negeri atau daerah walaupun untuk mengambil pesanan,” kata pengusaha restoran di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Pemilik Charlie’s Cafe, Desonny Tuzan berkata, terdapat sekurang-kurangnya 50% penurunan penjualan kali ini berbanding dengan PKP pertama tahun lalu.

Kata beliau, gabungan keadaan cuaca buruk, PKP 3.0, bulan puasa dan menjelang Aidilfitri menyebabkan penghantar makanan berkurangan susulan perkhidmatan diberikan dalam radius lebih kecil selain ditambah larangan makan di kedai.

Tambahnya, jenama lebih besar akan “menyekat” penghantar makanan yang hanya menyiapkan pesanan selepas penghantar makanan sampai, selain penunggang ini terpaksa menunggu hampir sejam jika jumlah pesanan banyak.

“Ketika PKP, 90% daripada pendapatan kami datang dari penghantaran makanan, sementara 10% berasal dari pelanggan yang membawa makanan pulang, namun kini penghantaran amat terhad,” katanya.

Khuatir dengan kelonggaran sekatan dibuat, beliau berkata kerajaan boleh membenarkan makan di kedai dan ia hanya membabitkan golongan dewasa, tanpa membabitkan kanak-kanak selain hanya dua orang bagi satu meja.

“Mereka yang berisiko tinggi tidak boleh dibenarkan memasuki kedai makan dan minuman atau bahkan pusat membeli-belah,” katanya.

Namun, Tuzan lebih bersetuju pelaksanaan sekatan menyeluruh yang menyerupai PKP pertama.

Pengurus Krishna Curry House, Rani Pushparani berkata, restoran nasi daun pisang hanya bergantung pada penghantaran ketika ini bagaimanapun, beliau kehilangan antara RM2,000 hingga RM3,000 sehari ketika PKP.

Meskipun beberapa perkara dilaksanakan seperti PKP pertama, beliau merasakan seperti baru saja memulakan perniagaan dan berharap kerajaan boleh membenarkan dua orang pelanggan untuk satu meja.

“Disebabkan nasi daun pisang, orang lebih suka duduk dan makan di sini, bungkusan sedikit sukar bagi mereka, di mana mereka terpaksa membuka bungkusan, memanaskan makanan dan mencuci pinggan.

“Dua orang setiap meja lebih baik daripada tidak ada langsung, kerajaan perlu pertimbangkan ini. Saya duduk di sini sejak pagi dan setakat ini kami hanya memperoleh RM300. Nasib baik kami tidak masak dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Pada April, FMT melaporkan jumlah penghantar makanan menurun pada Mac, dengan satu penyedia perkhidmatan mendakwa terdapat penurunan sebanyak 85%.

Restoran dan syarikat penghantar makanan berkata banyak penunggang mungkin telah kembali ke pekerjaan sepenuh masa mereka dengan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur selepas tamat PKP kedua.

Sambil mengakui perkara itu, Shankar berkata, tempoh dua minggu untuk PKP juga dapat menghalang mereka yang berminat untuk mendaftar sebagai penghantar.

Mengenai pengumuman saat akhir semalam, beliau berkata beberapa orang yang hilang pekerjaan sementara mungkin berfikir dua kali untuk mendaftar sebagai penghantar makanan.

Beliau berharap kerajaan bersikap belas kasihan terhadap industri makanan dan minuman, terutama apabila kebanyakan kluster dan kes dalam dua bulan terakhir ini berpunca daripada tempat kerja dan industri pembuatan.

“Mereka boleh terus beroperasi. Sementara itu, kami yang menyebabkan kurang dari 1% (kes dan/atau kluster) ditutup,” tambahnya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/11/larangan-makan-di-kedai-penghantar-berkurang-tamparan-berganda-buat-pengusaha-restoran/