Pengundi positif Covid-19, dikuarantin tak dibenarkan mengundi – SPR

Pengundi yang didapati positif Covid-19 atau perlu menjalani kuarantin di rumah atau hospital tidak dibenarkan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Memetik laporan Malaysiagazette, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pengundi-pengundi lain tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi kerana Suruhanjaya Pilihan Raya melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di pusat-pusat mengundi.

Setiap pengundi perlu menjalani saringan dan imbasan suhu badan di pintu masuk pusat mengundi dan mereka yang mempunyai gejala atau mempunyai suhu melebihi 37.5 darjah Celsius akan diasingkan di dalam khemah khas.

Pengundi positif Covid-19, dikuarantin tak dibenarkan mengundi - SPR

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh

”Pengundi yang bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5°C, batuk, sakit tekak atau sukar bernafas hendaklah diasingkan serta-merta daripada pengundi yang lain dan mengundi di tempat khas (khemah khas untuk memangkah).

”Pengundi kemudiannya wajib memakai pelitup muka berganda dan sarung tangan pakai buang (getah) sebelum memegang kertas undi dan ke petak mengundi di dalam khemah khas untuk memangkah undi.

”Petugas yang terlibat mengendalikan individu bergejala hendaklah mematuhi prosedur yang telah ditetapkan serta memakai PPE (penutup hidung dan mulut, apron, pelindung muka dan sarung tangan) sepanjang mengendalikan individu berkenaan.

”Pembersihan dan sanitasi petak mengundi perlu dilakukan setiap kali pengundi yang bergejala selesai menanda kertas undi masing-masing.

”Selepas selesai mengundi, pengundi bergejala akan diuruskan oleh Pegawai KKM yang bertugas untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau turut menegaskan individu yang positif Covid-19 dan sedang dikuarantin di hospital, mereka tidak dibenarkan atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia.

SOP Pencegahan Covid-19 PRN Melaka yang dimuat turun di portal SPR memaklumkan, pengundi yang positif Covid-19 tidak dibenarkan keluar dari tempat mereka sedang menerima rawatan untuk mengundi kerana berisiko membawa jangkitan kepada awam.

Pengundi berstatus pesakit dalam siasatan (PUI) individu dalam pemantauan (PUS) yang ingin mengundi pula perlu memohon kebenaran Pegawai Kesihatan Daerah di Pejabat Kesihatan Daerah yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian berkenaan, untuk keluar sementara ke pusat mengundi.

Kebenaran itu tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh Pegawai Kesihatan Daerah berkenaan, dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan KKM.

Abdul Ghani juga turut memberi jaminan supaya pengundi tidak bimbang untuk keluar mengundi.

”Setakat pilihan raya yang kita laksanakan termasuk di Sabah, belum ada kes Covid-19 di pusat pengundian,” katanya.

BACA JUGA : Rombongan Rauf didakwa langgar SOP di hari penamaan calon
Banglo RM15 juta milik keluarga Jho Low dipulangkan

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    […] BACA JUGA : Pengundi positif Covid-19, dikuarantin tak dibenarkan mengundi – SPR […]