MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng menyokong tindakan memasukkan kesalahan menyuntik kebencian dan penghinaan terhadap mana-mana agama dalam Kanun Keseksaan (Akta 574).
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pindaan akta berkenaan yang bakal menyaksikan hukuman lebih berat menanti pesalah, selain mengetatkan beberapa proses pendakwaan, termasuk operasi prosedur standard (SOP) pembuktian di mahkamah adalah langkah tepat.
“Ia memang harus disokong supaya kita dapat pastikan kedudukan harmoni dan toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
“Penghinaan terhadap agama tidak boleh dianggap sebagai kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara bukan sampai hina orang, cerca orang dan fitnah orang.
“Kebebasan bersuara adalah berdasarkan fakta, bukan fitnah,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian cek bernilai RM5 juta kepada Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa bagi pengoperasian Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya, hari ini.
Pada 26 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kesalahan menyuntik kebencian dan penghinaan terhadap mana-mana agama akan dimasukkan dalam Akta 574.
Mujahid berkata, pindaan terhadap Akta 574 itu secara dasarnya mendapat persetujuan dan akan dibentangkan ke Kabinet, sebelum usul pindaannya dibawa pada sidang Dewan Rakyat, bulan depan.
Katanya, pindaan akta berkenaan bakal menyaksikan hukuman lebih berat menanti pesalah, selain mengetatkan beberapa proses pendakwaan termasuk operasi prosedur standard (SOP) pembuktian di mahkamah.
Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/02/428221/hina-agama-patut-dihukum-lebih-berat-guan-eng