Pengguna mengadu sukar untuk dapatkan stok minyak masak paket, kata FOMCA

Pengguna mengadu sukar untuk dapatkan stok minyak masak paket, kata FOMCA

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan ahli gabungannya terutama di luar bandar menerima aduan daripada pengguna mengenai kesukaran untuk mendapatkan minyak masak peket di tempat mereka.

Timbalan Setiausahanya, Nur Asyikin Aminuddin menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan dan meningkatkan pengeluaran kuantiti minyak masak peket supaya lebih ramai pengguna dapat menikmati subsidi minyak masak ini.

Menurutnya, apabila kenaikan minyak sawit yang terlampau tinggi buat masa ini, tidak mustahil ada pihak yang gelap mata untuk mengaut keuntungan lebih.

“Pemantauan ke atas minyak masak peket perlu dijalankan secara menyeluruh supaya tiada pihak yang bermain dengan kuantiti minyak masak yang bersubsidi ini dan isu integriti juga terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, FOMCA amat berterima kasih dengan pihak KPDNHEP negeri yang bertungkus lumus dalam membendung penyeludupan minyak masak ke kawasan sempadan.

“Aduan pengguna juga amat berguna dalam membantu pihak KPDNHEP untuk menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak masak peket,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Asyikin mempersoalkan mengenai isu kualiti minyak masak peket bersubsidi.

Beliau berkata, ketelusan kualiti minyak masak sangat penting kerana ia melibatkan isu kesihatan pengguna yang menggunakannya.

“Pihak berkuasa perlu memantau kualiti minyak masak peket secara berkala, bukannya berdasarkan aduan pengguna supaya kualitinya sentiasa terkawal rapi.

“Rantaian bekalan minyak masak bersubsidi ini perlu melibatkan banyak pihak berkepentingan termasuk wakil persatuan pengguna supaya ia tidak mudah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berharap KPDNHEP tidak mengabaikan suara pengguna dan lebih empati dengan nasib rakyat kerana segala kos kenaikan harga yang berlaku di sepanjang rantaian bekalan makanan akan ditanggung oleh pengguna sebagai pengguna akhir di rantaian tersebut.

“Rata-rata pengguna sudah cukup terkesan dengan tekanan ekonomi akibat wabak pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Jika pengguna sukar untuk mendapatkan minyak masak peket di tempat mereka atau berlaku isu sorok minyak masak, sila ajukan aduan secara terus ke pihak KPDNHEP melalui aplikasi WhatsApp iaitu 019-2794317.

Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/143545/BERITA/Nasional/FOMCA-terima-aduan-pengguna-sukar-dapat-minyak-peket